Astro AWANI lancar JIWA, garis panduan AI, terkehadapan dalam inovasi kewartawanan
Azib Zikry
Mei 9, 2024 15:15 MYT
Mei 9, 2024 15:15 MYT
KUALA LUMPUR: Astro AWANI melakar sejarah apabila berjaya melancarkan JIWA: A Guideline for AI Utilization in Astro AWANI, yang menggariskan panduan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pelaporan berita.
Ia sekali gus menjadikan Astro AWANI sebagai organisasi media pertama di Malaysia yang menyediakan garis panduan dalam mengadaptasi teknologi kecerdasan buatan di bilik beritanya.
Inisiatif ini menggariskan komitmen saluran berita 24 jam itu untuk memanfaatkan keupayaan AI menegakkan tahap tertinggi dalam penghasilan berita berkualiti, efisien tanpa mengetepikan etika kewartawanan yang kredibel.
Menurut Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail garis panduan yang dibangunkan dengan kerjasama Universiti Nottingham Malaysia (UNM) dan beberapa organisasi media tempatan ini merupakan suatu usaha mengadaptasi teknologi AI yang makin mendapat perhatian pemain industri termasuk media.
“Kita masih belum terlambat mengadaptasi AI, ia mungkin sudah lama diwujudkan namun, pengaplikasiannya adalah suatu gelombang merentasi pelbagai sektor.
“AI masih lagi di peringkat eksperimen termasuk di peringkat global. Garis panduan ini akan menjadi akses kepada pengaplikasian AI dalam industri media dan komunikasi.
“Pada zaman ini, semua adalah pencipta kandungan. Dengan adanya garis panduan ini, diharapkan ia dapat dijadikan satu perimeter untuk semua ikuti,” katanya dalam sidang meja bulat Kewartawanan dalam Zaman Gangguan Kecerdasan Buatan (AI) di Pusat Pembelajaran UNM di Petaling Jaya, Selangor, pada Khamis.
Sidang meja bulat itu turut menampilkan Ketua dan Timbalan Presiden Kanan, GMA Integrated News, Regional TV and Synergy, Olivier Victor B. Amoroso; Pengarah Urusan FMT, Azeem Abu Bakar; dan Pengarah Produk AI Associated Press, Ernest Kung.
Barisan panel lain termasuk Profesor Zaharom Nain dari UNM, Wathshalah Naidu dari Centre for Independent Journalism (ICJ), Davyn Sudirjo, Ketua Pengarah Eksekutif Masa AI dan Ketua Unit Multiplatform News Innovation (MNI) Astro AWANI, Shafizan Johari.
Pendekatan Astro AWANI terhadap penggunaan AI, yang terkandung dalam akronim JIWA, menekankan prinsip berikut:
- Justifiable (Wajar): Pastikan keputusan kewartawanan dipacu AI adalah wajar, telus dan bertanggungjawab.
- Inklusif: Memupuk keterangkuman dengan mempertimbangkan pelbagai perspektif dan mengelakkan berat sebelah dalam algoritma dan pelaporan AI.
- Wise (Bijak): Gunakan kebijaksanaan dalam penggunaan alatan/peranti AI, membuat pilihan termaklum yang meningkatkan integriti dan kualiti kewartawanan.
- Authentic (Tulen): Menyokong keaslian dalam pelaporan melalui semakan fakta yang rapi, memastikan bahan yang dijana AI sejajar dengan piawaian kewartawanan.
Objektif Garis Panduan AI termasuk menegakkan etika kewartawanan, memupuk kemahiran kewartawanan seperti pemikiran kritis, analisis dan penulisan, melindungi kerahsiaan maklumat dan mempertajam proses kewartawanan.
Garis panduan itu menangani 10 bidang utama yang menjadi perhatian dalam penggunaan AI dalam proses kewartawanan, sejajar dengan komitmen Astro AWANI untuk memelihara etika kewartawanan.
Ia adalah hasil daripada penyelidikan meluas ke dalam garis panduan AI yang dilaksanakan di dalam bilik berita memastikan ia mencerminkan amalan terbaik dalam industri media.
Sebelum ini, Astro AWANI dinobatkan sebagai Penggunaan Terbaik AI dalam pemberitaan di Digital Media Asia 2024, saluran berita 24 jam ini sebagai organisasi media Malaysia yang terus memimpin perbincangan mengenai inovasi teknologi dalam bidang kewartawanan.