Astro AWANI kekal antara jenama berita paling dipercayai
Astro Awani
November 9, 2019 11:36 MYT
November 9, 2019 11:36 MYT
KAJIAN tahunan oleh Institut Kajian Berita Digital Reuters baru-baru ini mendedahkan senarai jenama berita yang paling dipercayai bagi tahun 2019.
Astro AWANI berjaya kekal pada tempat kedua sejak laporan tahun lepas, diikuti NTV7 dan TV3, masing-masing pada tempat ketiga dan keempat, manakala tempat pertama diduduki oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).
“Saluran televisyen 24-jam Astro AWANI mengetuai dari segi kepercayaan jenama (brand trust) dengan mengambil pendekatan baharu, terbuka dan kritikal dalam membincangkan berita dan isu semasa,” ulas Prof Zaharom Nain dari Pusat Pengajian Komunikasi dan Kebudayaan Universiti Nottingham Malaysia dalam laporan itu.
Sumber: Digital News Report
Bagi kategori sumber berita televisyen, radio atau akhbar, dalam tempoh masa seminggu sebelum kajian itu dijalankan, pembaca paling banyak merujuk kepada TV3, diikuti Astro AWANI di tempat kedua dan The Star di tempat ketiga.
Bagi sumber berita digital yang paling banyak dirujuk pembaca pada minggu sebelumnya, Malaysiakini berada di tangga teratas, diikuti The Star, Astro AWANI, Berita Harian dan Yahoo! News.
Menurut laporan itu, berita dalam talian merupakan sumber paling dominan dari 2017 hingga 2019, diikuti media sosial, televisyen dan akhbar.
Antara faktor di sebalik pengaruh media sosial sebagai sumber maklumat adalah kerana rakyat masih enggan membayar untuk berita dalam talian, iaitu hanya 16 peratus yang melanggan dengan pembayaran.
Berbanding dengan kajian yang dikeluarkan tahun lepas, kepercayaan pembaca dalam berita keseluruhan hanya berganjak 1 peratus kepada 31 peratus.
Manakala, kepercayaan dalam berita yang dikongsi menerusi media sosial pula menurun daripada 21 peratus kepada 18 peratus.
Sumber: Digital News Report
“Pergolakan politik di Malaysia beri harapan baharu untuk kebebasan media selepas bertahun-tahun di bawah pemerintahan autoritarian.
“Namun, dalam satu tahun ini, kerajaan baharu seolah-olah enggan menepati janji,” kata Zahanim.
Tambahnya, kerajaan baharu dilihat lebih berminat untuk mengawal dan menapis berita berbanding membangunkan polisi yang lebih progresif.
"Ini dibuktikan dengan kes yang melibatkan seorang pengguna Facebook dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun 10 bulan atas kesalahan menghina Islam dan Nabi Muhammad," katanya.
Kajian ini dijalankan menerusi soal selidik dalam talian dari hujung Januari hingga awal Februari lalu oleh YouGov.
Seramai 2,101 responden direkodkan di Malaysia, yang mencatatkan kadar penembusan Internet pada 78 peratus.
Namun, kajian itu turut menegaskan bahawa sampel dalam talian mungkin tidak mewakili tabiat kesemua pengguna, terutamanya mereka yang tidak menggunakan Internet.
#jenama berita paling dipercayai
#Malaysiakini
#Reuters
#Reuters Institute Digital News Report 2019
#RTM
#The Star
#tv3