Astro AWANI dinobat adaptasi AI dalam pemberitaan terbaik di pentas Asia
Ahmad Khairol Shafizan Johari
April 24, 2024 21:55 MYT
April 24, 2024 21:55 MYT
KUALA LUMPUR: Astro AWANI dinobat sebagai pemenang Anugerah Digital Media Awards 2024 bagi kategori adaptasi Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam pemberitaan terbaik di rantau Asia.
Menerusi inisiatif ‘Tanya AI', projek yang menggabungkan teknologi AI terkini serta kualiti kewartawanan yang terbaik, sekaligus meletakkan Astro AWANI di hadapan dalam adaptasi, aplikasi dan penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam kalangan media serantau.
Menurut Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail, kemenangan itu adalah pengiktirafan terhadap komitmen Astro AWANI dalam menjamin kualiti dan kredibiliti kewartawanan selain pada masa sama menyantuni teknologi dan inovasi terkini.
“Inisiatif ‘Tanya AI’ bermatlamat meletakkan falsafah penggunaan AI ke arah mengukuhkan kualiti produk kepada pengguna dan memperteguh keupayaan insan dan dunia kewartawanan agar tidak hanyut dibadai kemajuan teknologi,” jelas Ashwad.
Dalam pada itu, Astro AWANI turut merangkul anugerah utama untuk kategori Laman Gaya Hidup Terbaik bagi media kecil dan sederhana menerusi projek laman web Piala Asia Qatar 2023.
Astro AWANI juga menerima Anugerah Perak untuk kategori utama Projek Semakan Fakta Terbaik menerusi Inisiatif AI-Powered Fact-Checking Lab.
Anugerah Media Digital Asia pertama kali dilancarkan pada 2009 untuk mengiktiraf organisasi media berita yang menjadi peneraju dan inovasi dalam strategi media digital.
136 penyertaan telah dihantar tahun ini dan majlis anugerah berpestij itu diadakan sempena persidangan Media Digital Asia, persidangan media digital serantau terbesar di Asia Pasifik.