Astro AWANI antara stesen televisyen Asia pertama guna Instant Articles di Facebook

Astro Awani
Disember 3, 2015 15:49 MYT
Astro AWANI merupakan stesen televisyen tunggal di Malaysia yang menerima ciri Instant Articles di Facebook.
Astro Awani muncul sebagai stesen televisyen pertama di Malaysia yang dipilih oleh Facebook sebagai rakan media untuk menerima Instant Articles di Facebook.
Instant Articles merupakan produk terbaru dari laman sosial gergasi itu yang membenarkan agensi berita untuk menyampaikan kandungan berita pada platform Facebook dengan lebih pantas dan interaktif.
Ini meletakkan Astro Awani sebaris dengan agensi berita Asia lain seperti Channel NewsAsia di Singapura dan CCTV News di China yang turut dipilih oleh Facebook sebagai rakan media bagi memperkenalkan produk Instant Artices di Asia.
“Mengembangkan ciri Instant Articles di Malaysia merupakan satu pencapaian penting bagi produk ini dan juga rakan media kami,” ujar Andy Mitchell, Pengarah Perkongsian Media Global Facebook.
“Instant Articles direka selepas mengambil kira maklumbalas para penerbit, dan kami sangat teruja untuk membawa kerjasama ini ke Asia untuk membantu mereka menyebarkan artikel secara interaktif dan pantas kepada pengguna.”
“Kami bekerja rapat dengan rakan media dalam memperkenalkan Instant Articles di peringkat tempatan. Di peringkat antarabangsa, para penerbit telah berkongsi ribuan Instant Articles di Facebook setiap hari dan untuk masa hadapan, kami berharap untuk bekerjasama dengan lebih ramai penerbit agar lebih ramai pengguna dapat menikmati pengalaman menggunakan Instant Articles,” ujar Ken Cheung, Ketua Perkongsian Media, APAC, Facebook.
Hari ini, Facebook melancarkan Instant Articles peringkat beta di Malaysia.
Sebelum ini, artikel berita akan mengambil masa secara purata lapan saat untuk terpapar di Facebook. Ini merupakan masa paling perlahan untuk mana-mana kandungan Facebook terpapar. Dengan Instant Articles, pengalaman membaca artikel berita dengan gajet akan menjadi 10 kali lebih pantas.
Setiap Instant Articles akan dilengkapi dengan ‘simbol kilat’ (lightning bolt). Sekiranya pengguna melihat simbol ini pada suapan berita (News Feed), mereka tahu bahawa artikel ini dilengkapi dengan ciri interaktif seperti kemampuan untuk mengubah saiz foto resolusi tinggi yang terpapar dengan hanya menggerakkan telefon pintar, menonton video yang dimainkan secara automatik, mendengar petikan audio, malah berkongsi ‘like’ dan komen pada mana-mana bahagian artikel.
Pengalaman Instant Articles begitu mudah untuk pengguna. Semuanya merupakan artikel yang sudah biasa dilihat pengguna di suapan berita masing-masing, cuma dalam format yang lebih pantas dan interaktif.
Buat masa ini, Instant Articles hanya boleh didapati bagi pengguna platform iOS.
#Astro Awani #Facebook #Instant Articles #iOS
;