Astro Arena siar dokumentari liku-liku perjuangan atlet Paralimpik, pada 8 Oktober

Bernama
September 24, 2016 08:28 MYT
Dokumentari itu akan mengisahkan kehidupan peribadi dan kisah-kisah pencetus inspirasi wira-wira tersebut.
Sempena Hari Sukan Negara, Astro Arena akan meraikan wira-wira Paralimpik Negara dengan menyiarkan dokumentari khas bertajuk "Kisah Kami Luar Biasa" pada 8 Oktober.
Dokumentari itu memaparkan kisah hidup, perjuangan peribadi dan kejayaan pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Abdul Latif Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli dijadual disiarkan di Astro Arena menerusi saluran 802/802 pada 9 malam.
Astro dalam satu kenyataan hari ini berkata dokumentari itu akan mengisahkan kehidupan peribadi dan kisah-kisah pencetus inspirasi wira-wira tersebut.
Selain itu, ia turut menampilkan temu bual eksklusif dengan ketiga-tiga wira itu dan pemenang pingat gangsa Siti Noor Radiah Ismail dan ketua jurulatih Paralimpik R. Jeganathan di saluran yang sama Ahad ini (25 September) pada 1 petang.
"Nadi@1 Edisi Wira-Wira Luarbiasa Negara akan dihoskan oleh pengacara Astro Arena, Edleen Ismail. Temuramah selama satu jam itu akan menyorot pengalaman dan emosi setiap #HeroMalaysia apabila mereka melakar sejarah bagi sukan di Malaysia," kata kenyataan itu.
Mohamad Ridzuan mengutip pingat emas pertama bagi negara dalam acara 100 meter T36 diikuti pingat emas kedua menerusi Muhammad Ziyad dalam acara lontar peluru F20 dengan catatan rekod baharu dunia 16.84 meter.
Abdul Latif menjelmakan emas ketiga negara dengan lompatan rekod baharu dunia 7.60 meter dalam acara lompat jauh T20 sementara Siti Noor Radiah merangkul pingat gangsa dalam acara lompat jauh T20 dengan lompatan sejauh 20.05 meter untuk mengatasi rekod Sukan Para Asia.
#Abdul Latif Romly #Astro Arena #Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi #Muhammad Ziyad Zolkefli
;