Asri Hamidon dilantik ketuai Jawatankuasa Khas Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan - KSN

Bernama
September 11, 2024 08:25 MYT
Datuk Seri Asri Hamidon, Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan. - Foto DagangNews
PUTRAJAYA: Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Datuk Seri Asri Hamidon dilantik mengetuai Jawatankuasa Khas Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan.
Pelantikan itu diumumkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar ketika menyampaikan amanat pada Majlis Aspirasi Kepimpinan KSN di sini semalam.
"Saya ingin mengumumkan di sini, kerajaan telah bersetuju mewujudkan Jawatankuasa Khas Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan yang akan diketuai oleh Datuk Seri Asri Hamidon berkuat kuasa hari ini," katanya.
Beliau berkata jawatankuasa itu diwujudkan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan meningkatkan sinergi awam dan swasta melalui penggabungan kepakaran dan akses kepada sumber modal baharu, di samping memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan penawaran inovasi yang berimpak tinggi.
Ia juga adalah susulan daripada pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 Sept lepas yang menyatakan kerajaan menubuhkan Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan bagi menangani isu pertindihan fungsi dan menjimatkan dana negara.
Sementara itu Shamsul Azri berkata rasionalisasi Syarikat Berkaitan Kerajaan, Syarikat Pelaburan Kerajaan dan Syarikat Berhad Menurut Jaminan pula akan dirasionalisasi oleh Pasukan Pantau Madani, Kementerian Kewangan.
Turut hadir di majlis penyampaian amanat semalam ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Bernama Nur-ul Afida Kamaludin.
-- BERNAMA
#Shamsul Azri Abu Bakar #Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan #Asri Hamidon #Jawatankuasa Khas Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan
;