Asrama sekolah di Salor, Kelantan jadi PKRC untuk pelajar positif COVID-19

Bernama
April 22, 2021 16:51 MYT
PKRC yang akan dibuka hari ini atau esok itu merupakan yang ketujuh dibuka di negeri ini. - Gambar fail/ Bernama
KOTA BHARU: Dua blok bangunan asrama sebuah sekolah di Salor, di sini bakal dijadikan sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) bagi pelajar-pelajar yang disahkan positif dari seluruh Kelantan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata PKRC yang akan dibuka hari ini atau esok itu merupakan yang ketujuh dibuka di negeri ini.
"Kita dah bincang untuk buka satu lagi PKRC di asrama sekolah yang akan menempatkan pelajar-pelajar yang disahkan positif dari seluruh Kelantan. Kita pun dah bincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk jadikan sebuah sekolah menengah di Salor sebagai PKRC.
"Kesemua pelajar lelaki dan perempuan akan ditempatkan secara berasingan di dua blok bangunan asrama," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Keselamatan Negeri (JKKN) di sini hari ini.
Dr Zaini berkata berdasarkan kapasiti, PKRC di asrama sekolah berkenaan mampu menampung seramai 300 pelajar.
Sementara itu, mengulas pembukaan PKRC di Kompleks Belia dan Sukan di Panji, dekat sini, Dr Zaini berkata kompleks itu mampu menampung seramai 140 pesakit dan akan dibuka selewat-lewatnya esok.
Mengulas perkembangan suntikan vaksin Fasa 2, Dr Zaini berkata seramai 120 orang akan disuntik hari ini berdasarkan senarai pendaftaran yang dibuat sebelum ini.
"Kita harap semua yang mendaftar dapat hadir dan mendapatkan suntikan. Individu berusia 60 tahun ke atas dan yang berisiko akan diberi keutamaan," katanya.
-- BERNAMA
#Kelantan #COVID-19 #PKP #asrama #sekolah #salor #Kota Bharu #pelajar #kes positif #PKRC #pusat rawatan
;