Asrama pusat tahfiz terbakar, 6 pelajar terselamat
Aida Aziz
Jun 22, 2022 09:10 MYT
Jun 22, 2022 09:10 MYT
SERI ISKANDAR: Seramai enam orang pelajar Pusat Tahfiz Dar al-Fawzan di sini terselamat selepas asrama yang dihuni mereka terbakar pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.46 pagi itu, bilik asrama yang menempatkan pelajar lelaki itu terbakar sebanyak 15 peratus.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar dengan bantuan BBP Batu Gajah bergegas ke lokasi kejadian.
"Kebakaran membabitkan sebuah bilik di tingkat atas bangunan kelas A yang dijadikan asrama tahfiz pelajar lelaki.
"Bilik itu berkeluasan 15x10 musnah terbakar sebanyak 15 peratus.
"Bagaimanapun, enam orang pelajar yang tinggal di asrama itu berada dalam keadaan selamat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya, ketua operasi kemudiannya mengarahkan anggota bomba membuka satu aliran hose reel bagi kerja pemadaman, sehingga kebakaran dipadam sepenuhnya.
Operasi yang diketuai oleh PBK II Harina Abdul Wahab itu tamat pada jam 5.23 pagi.