Asrama Darul Quran Rusila terbakar

Astro Awani
Februari 5, 2013 17:58 MYT
Sebuah blok asrama yang menempatkan 90 pelajar tingkatan dua Sekolah Maahad Darul Quran di dalam kawasan Masjid Rusila, Marang terbakar kira-kira jam 10.30 pagi tadi.
Ketika kebakaran, pelajar terbabit sedang belajar di dalam kelas .
Kejadian disedari orang ramai termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berada di dalam salah sebuah bangunan di kawasan itu.
Menurut Datuk Seri Hadi, beliau melihat asap tebal namun tidak dapat memastikan bangunan mana yang terbakar kerana kedudukan bangunan yang agak rapat.
Pemeriksaan dijalankan di bangunan asrama menempatkan pelajar tingkatan dua dan didapati semua pelajar berjaya menyelamatkan diri.
Beliau yang juga penasihat sekolah berkenaan berkata, bangunan terbabit beroperasi sejak tahun 1985 dengan seramai 900 pelajar dari tingkatan satu hingga menengah atas tinggal dan belajar di situ.
Pelajar yang terjejas pula akan ditempatkan sementara di bangunan asrama yang lain buat sementara waktu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marang, Zamri Awang Long memberitahu punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat.
#Datuk Seri Abdul Hadi Awang #Masjid Rusila #Sekolah Maahad Darul Quran
;