Aspirasi TN50 diserahkan kepada kerajaan

Israr Khalid
Februari 28, 2018 04:43 MYT
Selepas setahun usaha mengumpul aspirasi anak muda, ia diserahkan kepada Perdana Menteri sebagai input penting perangkaan dasar negara akan datang. - Foto fail
Selepas setahun mengumpul pendapat, impian, cita-cita dan aspirasi anak muda di serata negara, Kanvas Belia Transformasi Nasional 2050 (TN50) diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu.
Usaha yang digerakkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bermula dengan Dialog Perdana TN50 di Universiti Malaya (UM) pada 19 Januari 2017 itu berjaya meraih 2 juta penglibatan golongan belia yang melahirkan lebih 60,000 aspirasi unik untuk dijadikan input penting dalam penggubalan dasar negara akan datang.
Dengan komitmen yang diberikan itu, Perdana Menteri dalam ucapan amanatnya menyatakan kepercayaannya bahawa generasi muda hari ini berupaya membentuk negara yang lebih hebat kelak.
“Ia menjadi landasan dan cerminan generasi masa depan.
“Apabila melihat aspirasi ditampilkan golongan muda, saya yakin generasi akan datang boleh membawa lebih kejayaan buat negara,” katanya.
BACA: TN50 kanvas baharu muatkan aspirasi bersama rakyat
Majlis itu menampilkan sesi perkongsian para Duta TN50 dari empat kumpulan iaitu Pekerjaan, Pendidikan, Kemampanan, serta Nilai Dan Identiti, bersama Datuk Seri Najib dan Menteri KBS, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang bertindak selaku moderator.
Dalam perbualan dengan kumpulan Pendidikan, Perdana Menteri menyatakan bahawa kerajaan pimpinannya akan mengkaji semula sistem pendidikan negara khususnya pendidikan awal kanak-kanak.
“Selepas Pilihan Raya Umum nanti, jika dapat mandat yang baik, kita akan kaji semula dan cuba bangunkan sistem pendidikan sesuai dengan cita rasa orang muda hari ini.
“Daripada suara hati rakyat Malaysia, kita lakarkan pada kanvas TN50 suatu gambaran yang cukup hebat untuk negara kita. Saya yakin kerana Malaysia boleh," tegasnya.
Kanvas Belia TN50 diwujudkan pada 1 Disember 2017 menerusi http://www.mytn50.com/kanvasbelia, sebagai sorotan digital draf laporan inisiatif yang mengumpulkan maklum balas akhir daripada golongan muda terhadap setiap aspirasi yang disuarakan.
#Datuk Seri Najib Tun Razak #Kanvas Belia TN50 #Perdana Menteri #TN50 #Transformasi Nasional 2050
;