Aspirasi Keluarga Malaysia: Rakyat boleh lihat kejayaan 100 hari semua kementerian, agensi kerajaan
Fareez Azman
Disember 9, 2021 17:02 MYT
Disember 9, 2021 17:02 MYT
KUALA LUMPUR: Kesemua pencapaian 100 hari oleh kementerian dan agensi kerajaan akan dipamerkan menerusi Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang sedang berlangsung di ibu negara.
Justeru Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak rakyat melihat sendiri pencapaian itu di dalam program yang bermula hari ini.
"Saya memohon maaf, saya tidak dapat menyebut Aspirasi 100 Hari kesemua kementerian satu persatu, namun rakyat boleh meneliti pencapaian mereka melalui program pada hari ini yang berlangsung sehingga 12 Disember.
"Ambillah peluang ini untuk melihat sendiri program yang disediakan, termasuk program Bantuan Aspirasi Kerajaan, pameran peluang kerjaya, kaunter perkhidmatan kerajaan dan banyak lagi program yang dibentuk khusus untuk Keluarga Malaysia," jelasnya ketika melancarkan Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini pada Khamis.
Bagaimanapun beliau mengingatkan agar setiap pengunjung dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Tambah Perdana Menteri, kerajaan di bawah pentadbirannya akan terus berusaha demi memastikan kemaslahatan rakyat dibela.
"Saya memahami bahawa rakyat meletakkan harapan yang tinggi terhadap kerajaan ini. Namun, 100 hari bukanlah jangka masa yang memadai untuk mengukur prestasi.
"Masih terdapat ruang yang perlu diberikan perhatian serius dan ditambah baik. Kami akan berusaha dengan sebaik-baiknya, demi kemaslahatan rakyat," jelasnya lagi.