Aspirasi golongan muda jadi teras Kerajaan corak pembangunan negara - PM

Harits Asyraf Hasnan
November 26, 2016 13:15 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berucap merasmikan Persidangan Wacana Belia Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini. - fotoBERNAMA
Pandangan dan aspirasi golongan belia kekal menjadi keutamaan kerajaan dalam mencorak pembangunan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, menerusi kajian yang dilaksanakan tahun lalu menunjukkan belia berumur 15 hingga 40 tahun merangkumi 1.2 bilion daripada penduduk dunia.
Ia sekaligus memberi petunjuk bahawa golongan itu mewakili suara majoriti yang sentiasa dahagakan pembangunan berteraskan acuan teknologi dan gaya hidup moden.
"Ini adalah masa hadapan anda (golongan belia) dan kami (Kerajaan) mahu anda suarakan sepenuhnya harapan anda untuk kami merangka dan bagaimana memacu negara ini dengan penuh kreativiti, inovasi, keusahawanan, penemuan saintifik, kehebatan teknologi, perlindungan alam sekitar dan pengukuhan institusi.
"Belia ialah masa depan kita, justeru menjadi tanggungjawab kerajaan untuk merangka masa depan yang lebih terjamin dan dinamik untuk mereka," katanya dalam ucaptama Kuala Lumpur International Youth Discourse (KLIYD) 2016, di sini hari ini.
Wacana bertemakan 'Memperkasa Belia Untuk Masa Depan Yang Cerah dan Lebih Selamat' itu adalah penganjuran pertama seumpamanya.
Hadir sama adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Pengerusi KLIYD, Khairul Azwan Harun.
Najib pada masa sama mengakui kerajaan sedar belia masa kini diselubungi pelbagai masalah, khususnya pengangguran, perpecahan sosial dan peningkatan kos sara hidup di bandar.
Rangkaian masalah itu, katanya, secara tidak langsung menyumbang kepada gerakan radikal, sekali gus menyebabkan belia terjerumus ke dalam kancah militan.
"Kumpulan Daish yang aktif merekrut belia sebagai anggota baharu sentiasa mengapi-apikan mereka bahawa perubahan dunia harus ditunjangi menerusi gerakan militan dan agresif.
"Anasir militan ini sanggup memanipulasi imej Islam semata-mata bagi meraih sokongan, khususnya belia yang tanpa berfikir panjang terpengaruh dengan gerakan radikal," katanya.
#aspirasi golongan belia #Datuk Seri Hishammuddin Hussein #Datuk Seri Najib Tun Razak #Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican #golongan muda #Khairul Azwan Harun #pandangan #Perdana Menteri
;