Aspek undang-undang, kawalan dan salah guna media sosial dikaji - Shabery
Bernama
Mei 26, 2013 08:43 MYT
Mei 26, 2013 08:43 MYT
Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan mengkaji semua aspek undang-undang, kawalan dan pendidikan berhubung penyalahgunaan media sosial di negara ini.
Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata ia juga termasuk penggunaan teknologi terkini yang mungkin boleh diguna pakai.
"Kita juga akan lihat lebih mendalam sama ada undang-undang sedia ada untuk menangani penyalahgunaan media sosial mencukupi atau tidak," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, langkah itu penting kerana pihak tidak bertanggungjawab akan senantiasa mencari jalan untuk menyebarkan perkara tidak baik menerusi media sosial.
Mengenai kejayaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(SKMM) mengesan individu yang menghina Sultan Terengganu menerusi laman Facebooknya, Ahmad Shabery berkata SKMM akan terus mempergiatkan usaha secara menyeluruh.
"SKMM juga sentiasa bekerjasama dengan polis dan pihak lain yang berkaitan dalam soal pembuktian," katanya.
Terdahulu, beliau melancarkan Karnival Perhubungan Pelanggan anjuran Pertubuhan Pengurusan Pelanggan dan Pusat Panggilan Malaysia sempena Festival Belia Putrajaya 2013.