Aspek keselamatan taman rekreasi perlu dipertingkatkan
Eton Khir
September 16, 2021 11:43 MYT
September 16, 2021 11:43 MYT
ASPEK keselamatan taman rekreasi di Malaysia masih berada di tahap kurang memuaskan, dan perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa demi keselamatan orang ramai yang mengunjungi taman rekreasi berkenaan.
Menurut Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, aspek keselamatan ini masih belum mendapat perhatian yang meluas dan masih banyak ruang yang perlu diperbaiki dari segi penyelengaraan.
Lam Thye menjelaskan, kejadian kanak-kanak berusia 22 bulan yang mengalami pendarahan dalaman pada otak selepas terjatuh dari bangunan tinjau di taman rekreasi Wetland Setia Alam baru-baru ini menjadi bukti aspek keselamatan perlu ditingkatkan.
"Ini boleh dianggap sebagai kejadian yang boleh terpalit kepada sesiapa sahaja, tidak kira sama ada kanak-kanak atau orang dewasa, bayangkanlah mereka menaiki anjung tinjau yang reput atau patah, apa saya sifatkan sebagai masalah keselamatan
"Dan sebenarnya, pihak yang bertanggunjawab itu harus memastikan bahawa segala kemudahan-kemudahan yang disediakan di taman rekreasi berkenaan termasuk anjung tinjau itu sentiasa diperiksa dan dipantau agar platform kayu yang mereka bertapak itu adalah platform yang selamat," katanya kepada Astro AWANI, pada Rabu.
Selain itu, Lam Thye menegaskan, pentingnya pemeriksaan secara berkala bagi menjamin keselamatan pengunjung.
"Isu penting ialah kenapa tiada pemeriksaan keselamatan berkala. Berkala maksud saya ialah mungkin setiap tiga bulan, pemeriksaan perlu dilakukan oleh pihak pengurusan, pemaju Bandar Setia Alam itu," katanya.