Aspek keselamatan di hospital perlu diberi perhatian, dikaji semula - Lee

Bernama
Ogos 9, 2024 14:00 MYT
Lee berkata insiden remaja yang menceroboh dan menyamar sebagai kakitangan di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang semalam adalah perkara serius dan harus diambil berat. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Aspek keselamatan di hospital seluruh negara perlu diberi perhatian dan dikaji semula secara menyeluruh bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti pencerobohan dan penyamaran kerana ia melibatkan keselamatan awam.
Pengasas dan Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Dr Lee Lam Thye berkata insiden remaja yang menceroboh dan menyamar sebagai kakitangan di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang semalam adalah perkara serius dan harus diambil berat.
"Sungguhpun kali pertama insiden mencerobohi dan menyamar sebagai doktor berlaku, tapi ia harus menjadi satu iktibar kepada pihak hospital supaya perkara ini tidak berulang.
"Hal ini juga melibatkan keselamatan pesakit di hospital dan prosedur operasi standard perlu dipatuhi oleh kakitangan kesihatan termasuk doktor bagi mengelakkan kehadiran individu tidak berkenaan di kawasan tidak sepatutnya," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dalam kenyataan hari ini menggesa pihak berkuasa menyiasat kejadian membabitkan remaja berusia 14 tahun itu dan menyatakan bahawa mereka memandang serius berhubung perkara itu.
Presiden MMA Dr Azizan Abdul Aziz berkata kejadian itu melibatkan pelanggaran keselamatan yang berpotensi membahayakan kesihatan dan nyawa pesakit.
Beliau menggesa pihak berkuasa memperketatkan sistem keselamatan, khususnya pengenalan kakitangan, bagi mengelak kejadian seperti itu berulang.
"Keselamatan dan privasi pesakit mesti kekal sebagai keutamaan tertinggi pada setiap masa. Kami juga menggesa pihak hospital menyiasat perkara itu secara menyeluruh bagi menentukan sama ada kejadian itu memberi kesan terhadap penjagaan pesakit," katanya.
Dia juga meminta penilaian terhadap gadis itu dengan menyatakan bahawa adalah luar biasa bagi seorang remaja berusia 14 tahun untuk berkelakuan sedemikian.
Media hari ini melaporkan seorang remaja perempuan ditahan semalam membabitkan insiden berkenaan dan direman selama dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan kes.
Kes disiasat mengikut Seksyen 448 dan 170 Kanun Keseksaan, iaitu menceroboh dan menyamar sebagai penjawat awam.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata remaja warga tempatan itu ditahan pada 9 pagi semalam di lobi hospital itu dan turut dirampas ialah baju, seluar bedah dan lanyard hak milik hospital.
-- BERNAMA
#aspek keselamatan #Hospital #perlu dikaji semula #Lee Lam Thye #HSIS