Aspek kebudayaan pupuk semangat perpaduan, tarik pelancong antarabangsa - Tiong
Bernama
September 30, 2023 23:16 MYT
September 30, 2023 23:16 MYT
PUTRAJAYA: Aspek kebudayaan dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama, selain menarik minat pelancong untuk datang ke negara ini, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
"Perpaduan dapat dicapai melalui kebudayaan dan seni seperti tarian dan muzik yang memerlukan kerjasama pasukan. Tanpa kerja berpasukan, sesebuah tarian atau alunan muzik itu tidak dapat dipersembahkan dengan baik," katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Festival Budaya Putrajaya 2023 di sini malam ini.
Tiong berkata kementerian yang turut berperanan memperkenalkan kebudayaan dan kesenian Malaysia, akan memastikan inisiatif dan strategi berterusan bagi mempromosikan destinasi pelancongan, seni dan budaya yang menarik.
"Kelebihan Malaysia dengan rakyat yang berbilang bangsa dan kepelbagaian kebudayaan itu turut menjadikan negara ini sebagai antara destinasi pelancong antarabangsa yang popular," katanya.
Festival Budaya Putrajaya 2023 bermula 28 Sept hingga 1 Okt ini dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan merupakan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama rakan strategik iaitu Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Istana Budaya.
Penganjuran festival itu bermatlamat untuk mendekatkan masyarakat umum dan antarabangsa dengan kegiatan seni budaya dan pelancongan Malaysia serta mempromosikan pelbagai produk pelancongan yang terdapat di negara ini.
Bertemakan "Perpaduan Melalui Seni Budaya", program itu juga bertujuan mengukuhkan semangat untuk hidup dalam harmoni dan semangat perpaduan melalui seni, budaya dan warisan.
Festival berskala mega di Putrajaya itu adalah sebagai satu daripada usaha MOTAC dalam mempromosikan produk pelancongan serta keunikan program yang mampu menarik tumpuan pelancong.
-- BERNAMA