ASP, 2 koperal polis didakwa bunuh Mohamad Hafiz di Langkawi
Adie Sufian Zulkefli
Julai 23, 2024 18:40 MYT
Julai 23, 2024 18:40 MYT
LANGKAWI: Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) bersama dua koperal didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa atas pertuduhan membunuh seorang lelaki pada Januari lalu.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan terhadap ASP Azhar Mohamad Amir, 45, koperal Shahril Firdaus Solleh, 36, dan koperal Mohd Shaharri Shah Mat Saad, 36, dibacakan di hadapan Majistret Nurul Natasha Rizal.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi didakwa secara bersama membunuh Mohamad Hafiz Salleh, 32.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat operasi BSJN, IPD Langkawi antara 6 petang hingga 8 malam pada 29 Januari lalu.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati atau dipenjara minimum 30 tahun atau minimum 12 sebatan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Khairul Anuar Abd Halim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya menerima permohonan pendakwaan untuk tidak membenarkan ikat jamin terhadap kesemua tertuduh dan menetapkan 20 Oktober ini untuk sebutan semula kes.
Februari lalu, tular rakaman video memaparkan sekumpulan anggota polis dilihat menggunakan kekerasan ketika menahan seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Ayer Hangat di sini.
Lelaki terbabit meninggal dunia pada 1 Februari lalu selepas dua hari menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha (HSM) di sini.