ASNB umum agihan pendapatan 4.75 sen seunit bagi ASM 2 Wawasan

Bernama
Ogos 30, 2024 13:50 MYT
Menurut ASNB, pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASM 2 Wawasan adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi dana tersebut.
KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan 4.75 sen seunit untuk Amanah Saham Malaysia 2 - Wawasan (ASM 2 Wawasan) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos, 2024.
Ia berkata pengagihan itu melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM1.13 bilion, memanfaatkan 939,200 pemegang unit.
"Agihan pendapatan ASM 2 Wawasan diterjemahkan kepada jumlah pulangan sebanyak 4.75 peratus, mengatasi prestasi penanda aras Deposit Tetap 12 Bulan Maybank pada 2.71 peratus sebanyak 204 mata asas.
"Setakat 26 Ogos 2024, dana itu memperoleh jumlah pendapatan kasar RM1.54 bilion dan mencatatkan pendapatan bersih direalisasi bersih RM1.27 bilion," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ASNB berkata pendapatan untuk ASM 2 Wawasan diperoleh daripada keuntungan modal, dividen dan sumber pendapatan lain daripada pelaburan domestik dan antarabangsa.
"Pendapatan daripada ekuiti kekal sebagai penyumbang utama berikutan pelaburan antarabangsa dan domestik masing-masing menyumbang 48.0 peratus dan 40.6 peratus kepada pendapatan kasar dana.
"Dana itu juga mendapat manfaat daripada kepelbagaian portfolio ke dalam kelas aset lain, terutamanya hartanah dan ekuiti persendirian, yang mewakili 8.6 peratus daripada jumlah nilai aset bersih," katanya.
Menurut ASNB, pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASM 2 Wawasan adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi dana tersebut.
"Pengagihan yang diisytiharkan oleh ASM 2 Wawasan akan dilaburkan semula secara automatik sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Sept 2024," katanya.
Ia berkata transaksi untuk ASM 2 Wawasan di cawangan dan ejen ASNB termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet ditangguhkan buat sementara waktu dari 30-31 Ogos 2024.
"Pemegang unit boleh menyambung semula transaksi di portal myASNB (www.myasnb.com.my), melalui aplikasi mudah alih myASNB pada 1 Sept 2024, dan di mana-mana cawangan ASNB atau ejennya di seluruh negara mulai 2 Sept 2024," katanya.
-- BERNAMA
#ASNB #ASM 2 Wawasan #agihan pendapatan #pelaburan