Asnaf raih pendapatan lumayan dengan cili fertigasi
Sinar Harian
Mac 22, 2022 07:45 MYT
Mac 22, 2022 07:45 MYT
BAGAN DATUK: Projek Cili Fertigasi yang digerakkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) mampu memberikan pendapatan hasil tuaian sehingga RM2,000 kepada asnaf terlibat.
Projek yang dilaksanakan dalam tempoh 12 bulan bermula April tahun lalu itu menyasarkan 20 asnaf terpilih dari seluruh negeri dengan kos keseluruhan RM355,000.
Seorang peserta dari Bagan Datuk, Siti Zabedah Shamsudin, 50, berkata, modal awal sebanyak RM17,750 diterima setiap peserta merangkumi set peralatan lengkap, sistem fertigasi, kursus teori dan praktikal, bimbingan serta pemantauan.
Menurutnya, untuk peringkat awal sebanyak 2,000 pokok cili ditanam dalam 1,000 polibeg dan setakat ini mampu mendapatkan hasil antara 70 hingga 200 kilogram.
"Minggu lepas sahaja, hasil tuaian cili di kebun saya mencecah 212 kilogram. Itu hasil tuaian paling tinggi pernah diperoleh sepanjang tempoh ini.
"Dengan jualan kepada pemborong pada kadar RM10 sekilogram, dapatlah raih hasil jualan sekitar RM2,000 untuk digunakan sebagai perbelanjaan keluarga dan membiayai persekolahan anak-anak," katanya ketika ditemui dalam Majlis Perasmian Projek Cili Fertigasi dan Tuaian Hasil Pertama di Kampung Sungai Pergam di sini pada Selasa.
Majlis dirasmikan Orang Besar Jajahan Bagan Datuk, Datuk Dr Khalid Ismail dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari.
Mengulas lanjut, Siti Zabedah berhasrat memperluaskan lagi tanaman cili berkenaan dan menjadikan pertanian sebagai sumber pendapatan tambahan keluarga.
Katanya, suami yang bekerja sebagai buruh dengan pendapatan sekitar RM800 tidak cukup untuk menampung kos sara hidup mereka bersama empat anak dengan tiga daripadanya masih belajar.
"Saya bersyukur kerana terpilih menyertai program ini kerana bukan sahaja boleh dijadikan sumber pendapatan, tetapi secara tidak langsung membantu memperbaiki taraf hidup keluarga saya," katanya.
Sementara itu, Shahrul Azam berkata, projek berkenaan telah dicadangkan tahun lalu di bawah teras pertanian Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (PROPER A) MAIPk.
Beliau memberitahu, daripada 20 peserta terlibat, lima merupakan asnaf dari Bagan Datuk, Manjung (3), Gerik, Selama, Kuala Kangsar, Taiping dan Seri Iskandar masing-masing dua peserta manakala seorang peserta dari Bagan Serai dan Lenggong.
"Kita berharap semua peserta terlibat mampu memanfaatkan ruang diberikan ini untuk membantu meningkatkan taraf ekonomi keluarga dan keluar dari garis kemiskinan.
"Menerusi kursus dan bimbingan yang diberikan, kita juga berharap peserta dapat meneruskan tanaman untuk musim berikutnya dengan berusaha mendapatkan geran atau pembiayaan daripada agensi lain seperti Jabatan Pertanian dan MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia)," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian