Asingkan kuasa JPM sebagai agensi penguatkuasa dan pembangun hartanah - Rahman
Mariah Ahmad
Ogos 21, 2015 17:47 MYT
Ogos 21, 2015 17:47 MYT
Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan hari ini mencadangkan supaya Jabatan Perumahan Malaysia, (JPM) mengasingkan kuasanya sebagai agensi penguatkuasa serta sebagai pembangun hartanah dan perumahan.
Menterinya Datuk Abdul Rahman berkata satu agensi perlu diwujudkan bagi membantu JPM lebih produktif dan berdaya saing dalam industri hartanah serta perumahan negara.
"Jabatan Perumahan Malaysia juga merupakan agensi penguatkuasa yang menguatkuasakan undang-undangnya mengikut Akta Perumahan.
"Jadi bila kita minta jabatan buat pembaikan dan pembangunan terutama bagi rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan rumah mampu milik, dia akan jadi lambat, sebab pengurusan pembangunan hartanah serta penguatkuasa undang-undang berada dalam satu jabatan yang sama.
"Maka kita perlukan pengasingan supaya JPM lebih berdaya saing dan lebih produktif. Kadang-kadang penguatkuasa berwaspada dan sentiasa meletakkan peraturan sebagai nombor satu kepada urusan pembangunan.
"Saya mahu agensi ini memahami kehendak dan cabaran industri hartanah dan perumahan ketika ini,"jelasnya dalam satu sidang media hari ini selepas memberi ucaptama dan merasmikan Persidangan Harta dan Perumahan Awam d Sunway Resort Hotel and Spa, Subang Jaya, Selangor.
Jelasnya, agensi ini juga membantu rintihan masyarakat Bumiputera yang tidak dapat membeli hartanah untuk Bumiputera.
#Bumiputera
#Kementerian Kesejahteraan Bandar
#perumahan
#Perumahan dan Kerajaan Tempatan
#Rahman Dahlan