ASIAN MEDTEC 2024 perkukuh reputasi Malaysia dalam teknologi, peranti perubatan

Bernama
Februari 15, 2024 04:45 MYT
Dr Dzulkefly berkata, ASIAN MEDTEC 2024, yang julung kali diadakan pada 10 hingga 12 Dis depan, turut akan menjadi platform pelancaran inovasi baharu dalam sektor peranti perubatan. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Penganjuran Persidangan dan Pameran Teknologi Perubatan Antarabangsa Asia (ASIAN MEDTEC) 2024 bakal memperkukuh reputasi Malaysia sebagai destinasi pilihan pengeluaran dan aktiviti rantaian bekalan peranti perubatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ASIAN MEDTEC 2024, yang julung kali diadakan pada 10 hingga 12 Dis depan, turut akan menjadi platform pelancaran inovasi baharu dalam sektor peranti perubatan.
"Selain itu, penganjuran program ini bertujuan mendorong kerjasama dalam kalangan agensi utama kerajaan untuk membentuk ekosistem bertaraf dunia bagi teknologi dan peranti perubatan di Malaysia," katanya pada sidang media selepas Majlis Prapelancaran ASIAN MEDTEC 2024 di sini pada Khamis.
Beliau berkata, persidangan tiga hari akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan dijangka menarik lebih 250 syarikat pempamer serta 10,000 pengunjung dari 25 negara antaranya Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan, Perancis, Jerman, Singapura dan Amerika Syarikat.
Dr Dzulkefly berkata, pada masa sama, aktiviti perdagangan antarabangsa dan sesi padanan perniagaan turut diatur sepanjang program berkenaan, selain menyediakan kemudahan bagi aktiviti persidangan dan ceramah berkaitan teknologi terkini industri, sekali gus memenuhi keperluan industri peranti dan teknologi perubatan.
Beliau berkata, sidang mesyuarat tahunan Global Harmonisation Working Party (GHWP) ke-28 juga akan berlangsung semasa persidangan ASIAN MEDTEC 2024.
"Pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah bagi mesyuarat tahunan GHWP, yang mengumpulkan delegasi pihak berkuasa dan industri dari 34 negara, memberi isyarat penglibatan Malaysia melalui Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dalam landskap teknologi dan peranti perubatan antarabangsa semakin meningkat," katanya.
Beliau berkata, dengan nilai pasaran teknologi dan peranti perubatan global dianggarkan sebanyak 536 bilion euro pada 2021, penganjuran ASIAN MEDTEC 2024 adalah sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 untuk mendorong negara ke arah menjadi antara pemain utama sektor peranti perubatan.
- BERNAMA
#Dzulkefly Ahmad #ASIAN MEDTEC 2024 #peranti perubatan #Menteri Kesihatan
;