AsiaCyberX, program perintis keselamatan siber dilancarkan

Zaim Ibrahim
April 4, 2018 20:06 MYT
Jailani (kanan) ketika menandatangani Majlis Pelancaran AsiaCyberX di Subang Jaya hari ini. - BERNAMA
Sedar tentang risiko serangan siber yang semakin menular, satu program dilancarkan hari ini bagi melahirkan pakar keselamatan siber untuk industri ekonomi digital.
Program Asia Cybersecurity Exchange (AsiaCyberX) merupakan hasil kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bersama LE Global Services Sdn Bhd (LGMS).
Menurut Pengarah Pembolehan Digital MDEC, Wan Murdani Wan Mohamad, seramai 240 mahasiswa dipilih mengikuti program perintis keselamatan siber ini yang dijalankan selama enam minggu dalam masa setahun tanpa sebarang bayaran dikenakan.
"Peranan kami adalah untuk mencari platform terbaik bagi mengukuhkan industri ekonomi digital.
"Program ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab kami dengan menyediakan satu penyelesaian dan inovasi kepada industri serta melahirkan bakat baharu," kata beliau ketika sidang media Majlis Pelancaran AsiaCyberX di Subang Jaya.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari, yang turut merasmikan majlis tersebut, usaha ini adalah seiring dengan keperluan ekonomi digital yang kekurangan pakar dalam bidang keselamatan siber.
"Saya sasarkan, kita mampu lahirkan 2,000 pakar keselamatan siber menjelang tahun 2020," kata beliau.
Tambahnya, program ini mampu meningkatkan peluang pekerjaan kepada graduan kerana ia dikhaskan kepada mahasiswa tempatan.
Pelancaran AsiaCyberX menyasarkan Malaysia sebagai antara hab keselamatan siber terbesar di dunia.
Setakat ini, semua 240 pelajar daripada tiga universiti awam dan lima universiti swasta telahpun dipilih bagi mengikuti program yang diperuntukkan sebanyak RM200 juta ini.
#AsiaCyberX #ekonomi digital #Jailani Johari #keselamatan siber #MDEC #pembangunan #serangan siber #SKMM #teknologi
;