Asia di landasan terbaik kemudi perubahan dunia - Ismail Sabri
Ridauddin Daud
Mei 26, 2022 14:21 MYT
Mei 26, 2022 14:21 MYT
TOKYO: Perkasakan integrasi ekonomi serantau, kukuhkan kerjasama dan mekanisme perundingan serta bermuafakat dalam menangani cabaran perusahaan iklim.
Itu tiga elemen utama ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam usaha membolehkan Asia memainkan peranan dalam menerajui dunia yang kini semakin berbeza pendirian.
Berucap pada Persidangan Antarabangsa ke-27 mengenai “Masa Depan Asia” di Tokyo pada Khamis, Perdana Menteri berkata, Asia kini berada di landasan terbaik untuk mengemudi perubahan dunia sekali gus membentuk status quo yang baharu.
Tegas beliau, ia dipacu kekuatan ekonomi dan pengaruh Asia di peringkat global.
“Bagi usaha memperkasakan peranan Asia melalui mekanisme kerjasama serantau, kita perlu juga berhati-hati dalam tindak balas terhadap isu-isu sedia ada dan juga yang baru muncul.
“Tidak perlu diadakan rangka kerja baharu sebaliknya, platform sedia ada boleh digunakan untuk tujuan tersebut.
“Di peringkat sejagat, Asia harus percaya dan berpegang teguh kepada proses yang terbina sejak berdekad lamanya dan menggunakan kaedah yang terbukti berkesan selama ini untuk menyelesaikan isu-isu semasa,” katanya.
Tambah beliau, perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dengan China, perang Ukraine dan Russia dan beberapa isu lain dalam dunia memberi cabaran kepada pembuat dasar di Asia.
Tegas beliau, Malaysia dan tentunya negara-negara membangun yang lain bergantung kepada keadaan serantau yang stabil, inklusif dan makmur agar perbezaan ketara antara negara tidak berlaku.
Justeru, Ismail Sabri berkata, tumpuan harus diberikan kepada usaha mengukuhkan kemampuan rantau Asia dalam menangani perubahan dalam globalisasi selepas pasca pandemik.
“Ketika globalisasi kini dalam kemerosotan, saya berpendapat penting sekali bagi para pembuat dasar dan juga pemimpin perniagaan di Asia meningkatkan lagi usaha mengukuhkan kerjasama serantau dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“Sehubungan itu, usaha perlu dilakukan untuk menjadikan rantaian bekalan serantau lebih berdaya tahan menerusi sokongan pelaburan infrastruktur digital dan memudah cara usaha untuk membangunkan kapasiti ke arah meningkatkan rantaian bekalan tempatan.
“Selain itu, para pembuat dasar di Asia seharusnya menggandakan usaha bagi meningkatkan kemampuan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sebagai salah satu pemacu utama pertumbuhan dan pembangunan ekonomi rantau ini,” kata beliau lagi.
Jelas Perdana Menteri, berdasarkan jumlah perdagangan dalam negara Asia sebelum ini, ia menunjukkan Asia mampu mempengaruhi trend atau arah aliran perdagangan dunia jika pendekatan diambil lebih bersifat serantau.