ASIA 2023: Ahieb Reborn dinobat Pempengaruh Media Sosial Terbaik
Astro Awani
Oktober 9, 2023 20:55 MYT
Oktober 9, 2023 20:55 MYT
KUALA LUMPUR: Pempengaruh terkenal Indonesia, Ahieb Reborn berjaya menggondol anugerah utama sebagai Pempengaruh Media Sosial terbaik di All Asia Influencers Award (ASIA 2023) yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini.
Ahieb, atau nama sebenarnya Mochammad Haiba Abqary, menyifatkan kemenangan itu sebagai sesuatu yang di luar jangkaan, dan menganggapnya sebagai satu kenangan manis di Malaysia.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dan rasa senang pastinya kerana ini di luar ekspektasi, di luar bayangan. Saya jujurnya masih rasa kaget dan terkejut. Tetapi yang nyata ia suatu kenangan yang berbekas sekali untuk di Malaysia kali ini.
“Saya sudah mula menghasilkan konten sejak empat tahun terakhir, dan memang saya fokus di dunia kreator. Alhamdulillah ini kemenangan pertama kali untuk saya, selepas berjaya mendapat tempat kedua di Kota Nangrang,” katanya.
Dengan kemenangan itu, Ahieb berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM47,300 berserta trofi.
Sementara itu kategori Suntingan Terbaik dimenangi Hermansyah dari Indonesia yang membawa pulang hadiah wang tunai RM14,200 beserta trofi, manakala kategori Penyampai Cerita Terbaik dimenangi Tikaolaa (Indonesia), dan trofi Pilihan Orang Ramai dibawa pulang oleh Syellaisk (Indonesia).
ASIA 2023, yang dihoskan oleh Sazzy Falak dan Shaun Stephen itu, merupakan anjuran Aston Creative dengan tujuan mengumpulkan pempengaruh media sosial terkenal dari seluruh Asia termasuk Malaysia, dengan matlamat utama mempromosikan industri penghasilan kandungan kreatif di Malaysia.
Selain mengumpulkan lebih 60 pempengaruh media sosial dari Vietnam, Indonesia, Thailand, Taiwan dan Filipina, malam gala turut dimeriahkan dengan persembahan dari Saixse, Coex, Okta Viey dan Vladd.