ASF: Lapor segera jika jumpa babi mati - JPVNS
Bernama
Januari 28, 2023 12:46 MYT
Januari 28, 2023 12:46 MYT
SEREMBAN: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) menasihatkan orang awam terutama pemburu babi hutan dan penternak agar melaporkan segera sekiranya terdapat penemuan atau kematian pada babi hutan serta ternakan babi komersial.
Pengarahnya Dr Kamarulrizal Mat Isa berkata, ia susulan terdapat satu kes positif penyakit Demam Babi Afrika (ASF) dilaporkan daripada seekor babi hutan jantan dewasa yang mati dan ditemukan pekerja ladang sawit di Ladang Sengkang, Pasir Panjang, Port Dickson, pada 3 Januari lepas.
Beliau berkata pemakluman itu bagi membolehkan pihaknya mengambil tindakan segera sekali gus mengelakkan perebakan penyakit itu di negeri ini kerana virus ASF masih boleh hidup dalam tisu dan tulang haiwan berkenaan untuk jangka masa lama.
"Hasil siasatan mendapati bangkai babi tersebut telah mereput dan sampel tulang yang diambil untuk ujian lanjut menunjukkan ia positif ASF.
"Jangkitan ASF melibatkan babi hutan berkemungkinan masih boleh berlaku kerana ia sukar dikawal, namun usaha dan tindakan ke arah mengawal perebakan pada ternakan babi komersial sedang giat dijalankan JPVNS," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Bagaimanapun, Kamarulrizal berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana ASF bukan penyakit zoonotik dan tidak menjangkiti manusia sama ada melalui kontak dengan haiwan berkenaan atau memakan daging serta produk daripada babi.
Menurutnya surat pemakluman kes itu telah diedarkan kepada semua pejabat perkhidmatan veterinar daerah dan negeri termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) yang turut mengeluarkan arahan larangan memburu babi hutan sebagai langkah kawalan.
Selain itu, beliau berkata JPVNS turut mengarahkan pihak ladang babi komersial sentiasa berwaspada dan meningkatkan kawalan biosekuriti ladang selain melaksanakan kempen kesedaran tentang ASF termasuk menerusi laman sosial.
Kamarulrizal berkata setakat ini, jangkitan penyakit tersebut di Negeri Sembilan adalah terkawal dan tiada lagi kes kematian babi hutan mahupun ternakan babi komersial dilaporkan.
"Tahun lepas, terdapat dua kes ASF melibatkan babi hutan masing-masing di Kuala Pilah dan Tampin serta satu kes melibatkan ternakan babi tanpa lesen di Port Dickson," katanya.
-- BERNAMA