ASF 2024 teraju pertanian pintar bebas racun berbahaya bakal jelajah seluruh negara

Astro Awani
Disember 2, 2024 07:30 MYT
Ravichandar (kanan) menyampaikan poster Asia Smart Farming & Food Security 2025 (ASF 2025) kepada Abdul Rahman sebagai simbolik penganjuran acara ini di Sarawak pada tahun depan. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pameran dan persidangan antarabangsa kali kedua Asia Smart Farming & Food Security 2024 (ASF 2024) yang berakhir minggu lalu semakin hampir mencapai matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan pertanian pintar tanpa penggunaan racun kimia berbahaya.
Acara ASF 2024 dianjurkan oleh ABS Greentech Sdn Bhd selaku penganjur utama dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan disokong oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia.
Dengan slogan "Pesticide-Free Farming for a Healthier Nation" ASF 2024 menekankan komitmen terhadap pertanian lestari dan selamat.
Menurut Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Stephen Rundi Utom optimis Malaysia mampu mencapai matlamat ini.
"Saya yakin kita mampu menjadikan Malaysia sebuah negara bebas racun kimia dan selamat pada masa depan. Misi ini selari dengan kempen 'Safe to Eat Food Products' yang baru dilancarkan oleh Sarawak dan prinsip kerajaan negeri untuk mengharamkan penggunaan racun kimia tidak lama lagi,” kata beliau dalam ucapan yang disampaikan oleh timbalannya, Datuk Abdul Rahman Ismail.
Atas tanggungjawab untuk memberi kesedaran dan kesinambungan daripada acara ASF 2024, penganjur merancang untuk mengadakan pameran serantau yang lebih meluas di seluruh Malaysia iaitu di Sabah, Sarawak, utara dan selatan Malaysia.
Sarawak bakal menjadi negeri pertama yang menganjurkan acara ini, memanfaatkan kedudukannya sebagai peneraju teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui yang sepadan dengan objektif ASF.
ASF tekad membantu petani beralih kepada amalan bebas bahan kimia berbahaya melalui penggunaan teknologi terkini.
Pengerusi Penganjur dan Ketua Pegawai Eksekutif ABS Greentech Sdn Bhd, R.M. Ravichandar, menegaskan pentingnya mendidik petani tentang kaedah pertanian lestari.
“Misi kami untuk memberi kesedaran tentang pertanian bebas bahan racun kimia dan untuk memastikan mesejnya sampai ke akar umbi pihak kami merancang untuk menubuhkan pusat latihan di setiap kawasan bagi mendidik petani tentang penanaman tanpa bahan kimia berbahaya, sekali gus meningkatkan produktiviti dan kesihatan. Jika rakyat kita tidak sihat, negara kita juga tidak akan sihat,” ujarnya.
Salah satu kejayaan utama ASF 2024 ialah jalinan beberapa kerjasama baharu yang akan memberi manfaat kepada syarikat tempatan dan memudahkan pertukaran teknologi, seterusnya memberi impak positif kepada petani dan masyarakat Malaysia.
Kesemua kerjasama berkenaan akan membawa teknologi terkini ke Malaysia seperti ladang solar, sistem pengurusan perosak maju, penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, dan pembungkusan makanan yang lestari.
“Acara ini adalah daripada petani untuk petani. Bersama-sama, kita sedang membina masa depan pertanian yang lebih sihat dan mampan untuk Malaysia dan dunia,” kata Ravichandar lagi.
Dalam masa sama, Greentech, jelas beliau, bersama-sama UPM, MARDI dan MTDC, mengambil langkah untuk menarik lebih ramai golongan muda menceburi sektor pertanian.
“Cabaran utama dalam sektor pertanian hari ini adalah kekurangan minat dalam kalangan generasi muda. Ramai petani Malaysia semakin berusia, dan tiada waris untuk meneruskan usaha mereka.
“Dengan menyediakan latihan dan pengetahuan, kami ingin menunjukkan bahawa pertanian boleh berkembang dengan teknologi moden,” ujar Ravichandar.
ABS Greentech yang bekerjasama dengan UPM, MARDI, dan MTDC menawarkan program latihan yang menumpukan kepada amalan pertanian moden, termasuk penggunaan teknologi pertanian tepat dan Integrated Pest Management (IPM) tanpa bahan kimia berbahaya.
“Ilmu tentang teknologi terkini memainkan peranan penting. Petani muda akan dilatih menggunakan data dan peralatan berteknologi tinggi untuk mengoptimumkan hasil tanaman mereka.
“Sebagai contoh, di Belanda, petani kecil dengan hanya tiga hingga lima ekar tanah mampu menguruskan sumber dengan lebih cekap melalui teknologi. Kami yakin amalan serupa boleh diterapkan di Malaysia.” ujarnya.
#ASF 2024 #pertanian pintar #ABS Greentech #Universiti Putra Malaysia
;