Aset usang MAHB dapat dihidupkan semula selepas pembukaan semula sempadan negara
Israr Khalid
Mac 23, 2022 06:45 MYT
Mac 23, 2022 06:45 MYT
KUALA LUMPUR: Pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia pada 1 April ini akan membolehkan industri penerbangan kembali segar apabila aliran trafik udara negara akan kembali merancak.
Kata Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Iskandar Mizal Mahmood, dengan ekonomi yang semakin memulih bersama dasar penjimatan yang dilaksanakan, syarikat itu nanti dapat menambah baik segala aspek perkhidmatan termasuk menghidupkan semula aset-asetnya yang usang.
Ketika ini pun menurutnya, trafik pada bulan Februari telah meningkat mendadak 180 peratus daripada tahun yang sebelumnya, namun masih belum sampai 80 peratus daripada jumlah trafik keseluruhan pada tahun-tahun sebelumnya.
“Ia akan memakan masa tapi jika kalau kita dapat juga kurangkan kos (operasi), sebab kalau kita lihat tahun-tahun kebelakangan ini pengurangan kos yang telah dicapai MAHB amatlah mendadak sekali.
“Pada mulanya rasa memang tak boleh kurangkan kos itu, tapi telah dibuktikan oleh rakan-rakan dan warga kerja di MAHB.
“Jadi dengan kecekapan sedia ada dan peningkatan sedikit yang akan datang ini selepas pembukaan sempadan 1 April, imbangan kewangan kami akan berada di tahap yang lebih memberangsangkan.”
Peningkatan perolehan itu akan membolehkan mereka memenuhi keperluan-keperluan lain untuk menaikkan mutu infrastruktur, fasiliti dan perkhidmatan di setiap lapangan terbang di negara ini.
Harus diingat, kata Iskandar, bahawa MAHB adalah satu syarikat yang sudah lama, maka banyaklah kerjanya untuk memberi nafas baharu kepada aset-asetnya yang banyak.
“Dengan program yang mantap untuk menukar dan juga membaik pulih mana yang boleh supaya kita dapat memberikan keselesaan yang lebih kepada penumpang, dengan secara langsung penumpang akan lebih banyak terarah kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan lapangan-lapangan terbang kami (yang lain).”
Tonton temu bual penuh bersama Iskandar dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Ibrahim Sani, di sini: