Aset sudah berusia penyebab pengurusan air tak efektif
Hasimi Muhamad
Mac 7, 2024 13:50 MYT
Mac 7, 2024 13:50 MYT
KUALA LUMPUR: Keadaan aset-aset yang berusia atau lama, menjadi antara faktor sumber air di negara ini tidak dapat diuruskan secara efektif.
Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA), Mohmad Asari Daud berkata, situasi menjadi semakin kritikal apabila pihak yang bertanggungjawab tidak memiliki dana yang mencukupi untuk menyelenggara sistem bekalan air.
Jelas beliau, penyelenggaraan atau penggantian aset-aset lama memerlukan kos yang besar, yang dijangka mencecah RM30 bilion bagi memastikan sistem penyampaian bekalan air negara lebih cekap.
"Apabila kita bercakap tentang dana, jika ia (sumber itu) datang daripada tarif (air), maka lakukan (usaha untuk mendapatkan dana). Jika dana tersebut datang daripada geran persekutuan, maka lakukan (usaha untuk dapatkan dana).
"Anda memerlukan dana tepat pada masanya," katanya dalam diskusi bertajuk 'Melangkah ke arah Kelestarian Air' pada Jerayawara Sempena Minggu Air Antarabangsa Singapura di sini pada Khamis.
Turut sama dalam diskusi tersebut ialah bekas Presiden MWA, Datuk Abdul Kadir Mohd Din dan Profesor Air dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Kejuruteraan, University of Nottingham Malaysia, Teo Fang Yenn.
Mohmad Asari menambah pengurusan sumber air yang cekap turut mampu mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW).
"Aset infrastruktur yang baik akan membantu kita menjadi lebih cekap. Saya tidak mengatakan bahawa kita tidak merancang. Kita merancang tetapi rancangan itu tidak disokong sepenuhnya oleh pihak berkaitan.
"Pihak berkaitan itu termasuk agensi persekutuan (seperti) Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah Kementerian Kewangan (MoF)... semakin tarif air di bawah tanggungjawab Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN); dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB)," ujar beliau.
Sementara itu, Fang Yenn berpandangan sektor swasta memainkan peranan penting termasuk memberikan sokongan kewangan dalam membantu pengurusan sumber air negara beroperasi dengan lebih baik.
"Seperti yang anda tahu di kawasan KL atau Lembah Klang, kebanyakan semua paip di sini sudah agak lama.
"Sektor swasta akan datang di bawah reformasi air, boleh membantu industri dapat beroperasi dengan lebih cekap dan memastikan kita boleh mengurangkan NRW serta menyediakan perkhidmatan yang baik," katanya.
Minggu Air Antarabangsa Singapura dijadual berlangsung pada 19 hingga 21 Jun depan di Marina Bay Sands, Singapura.
Program tersebut dijangka dihadiri lebih 20,000 peserta termasuk wakil kerajaan dan kementerian; agensi air, utiliti dan perbandaran serta pakar akademik.
#pengurusan sumber air
#Aset pengurusan air lama
#Bekalan sumber air Malaysia
#punca isu bekalan air