Aset lama di ESSZone akan ditukar - Mohamad Sabu

Ridzal Abdullah
Disember 2, 2018 17:55 MYT
Mohamad Sabu menyampaikan ucapan perasmian penutup Konvensyen Amanah di Sandakan, hari ini. - BERNAMA
Kementerian Pertahanan akan menukar aset lama di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) dalam mengukuhkan perairan keselamatan negara.
Menterinya, Mohamad Sabu berkata, bagaimanapun perkara itu bergantung kepada perkembangan bajet pihaknya.
"Kita perlu melihat bajet juga... tetapi setakat ini (aset) yang lama akan diganti, namun mengikut kemampuan kita," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Parti Amanah Negara Negeri Sabah di sini, hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, keadaan keselamatan di Sabah khasnya di ESSZone adalah terkawal ketika ini.
Katanya, antara aktiviti lawatan beliau termasuk bermalam di Laut Sulu dan melawat pulau-pulau yang dahulunya termasuk dalam kawasan 'kidnap for ransom' atau culik untuk tebusan.
"Tetapi kini, pulau-pulau ini sudah didatangi pelancong; pelancong dari China dan juga Eropah," katanya.
Mohamad Sabu berkata, memandangkan industri pelancongan antara yang terpenting bagi ekonomi Malaysia, pihaknya akan memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin.
#aset tentera #ESSZONE #keselamatan #Mohamad Sabu #pelancongan #Sabah
;