#ASEAN52: Makanan mampu merakyatkan ASEAN, bukan lagi retorik
Harits Asyraf Hasnan
Ogos 6, 2019 07:00 MYT
Ogos 6, 2019 07:00 MYT
Slogan ASEAN - Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti - tidak harus hanya tinggal slogan, sebaliknya ia perlu diterap dan diterjemahkan kepada lebih 600 juta penduduk di rantau ini.
Pengarah Eksekutif Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA), Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Shakila Yacob berkata visi dan tujuan utama penubuhan ASEAN itu perlu dirasai rakyat terutama melalui gastronomi dan budaya.
Jelasnya, kesatuan 10 negara anggota itu tidak harus hanya memfokuskan kepada hubungan kerajaan dengan kerajaan (G2G) tetapi menjadikannya rakyat dengan rakyat (people centric).
"Apabila kita bercakap tentang diplomasi awam, kita selalu mengaitkan diplomasi gastronomi, diplomasi sukan dan diplomasi awam kerana itu kekuatan kita yang harus dieksploitasi dan dibawa ke hadapan.
"Apa yang dilakukan oleh Thailand sebagai Pengerusi ASEAN (tahun ini) memang bagus iaitu menggunakan budaya supaya ASEAN ini tidak hanya berada di peringkat atasan atau G2G, kerana apabila ia hanya di peringkat atasan, ia tidak menjadi bebas lantaran terlalu bergantung kepada usaha kerajaan.
"Jadi kalau kita mengharapkan hanya kerajaan untuk melakukan perubahan dan menjalankan segala inisiatif, ASEAN tidak akan ke mana-mana," katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.
Tegasnya, ASEAN yang merangkumi negara-negara kecil perlu bersatu supaya ia boleh maju ke hadapan dengan membawa idea-idea yang lebih sejagat dan universal.
"Memang ada cabaran daripada perang dagang antara Amerika Syarikat (AS) dengan China tetapi pada pandangan saya, cabaran kita yang lebih dekat adalah cabaran daripada Korea Selatan, Jepun dan China kerana antagonis tiga negara ini semakin menebal dan memuncak.
"Jadi apa implikasinya ke atas ASEAN sekiranya kita tidak bersatu? Kalau kita bersatu, kita mampu menangani pergolakan yang berlaku dalam kalangan tiga kuasa besar ini, untuk kita ke hadapan," jelasnya.
Justeru katanya tumpuan kepada diplomasi dalam kebudayaan dan makanan akan membawa perubahan yang diperlukan rakyat.
#ASEAN
#ASEAN52
#budaya
#gastronomi
#INPUMA
#Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan
#makanan
#Negara Anggota ASEAN
#Profesor Dr Shakila Yacob
#Sidang Kemuncak ASEAN