ASEAN terima pakai Deklarasi Kuala Lumpur
Bernama
April 27, 2015 07:21 MYT
April 27, 2015 07:21 MYT
Para pemimpin ASEAN malam tadi menerima pakai Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN Berorientasikan Rakyat, Berpaksikan Rakyat, yang menumpukan kepada meningkatkan kerjasama dalam tonggak politik-keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya.
Mereka bersetuju untuk mewujudkan komuniti ASEAN yang mengikut peraturan dan berorientasikan rakyat serta berpaksikan rakyat yang termasuk semua rakyat, pemegang kepentingan dan sektor masyarakat.
Mengenai politik-keselamatan, deklarasi itu menyatakan ia akan menggalakkan Suruhanjaya Antara-Kerajaan ASEAN bagi Hak Asasi Manusia dan badan-badan sektor lain untuk terus berhubung dan berbincang secara bermakna dan membina dengan pemegang kepentingan relevan.
"Ini termasuk memberi pengiktirafan organisasi masyarakat awam dalam penggalakan dan perlindungan hak asasi manusia dan kebebasan asasi, mengikut Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN," demikian menurut deklarasi itu.
Selain itu, para pemimpin ASEAN akan mengukuhkan lagi sistem kehakiman dan infrastruktur perundangan untuk mengekalkan persekitaran yang aman dan harmoni yang termasuk perbincangan dengan cawangan perundangan dan eksekutif dalam penubuhan Komuniti ASEAN.
Mengenai ekonomi, para pemimpin ASEAN berikrar menyediakan persekitaran yang sesuai, kondusif kepada aktiviti perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS); akses kepada sistem kewangan formal dan menggalakkan perkongsian sektor awam-swasta.
Mereka berikrar untuk menggalakkan hubungan dan interaksi yang lebih erat antara ASEAN dan ketua-ketua perniagaan termasuk PKS.
Deklarasi itu juga menggesa integrasi, antara lainnya, elemen kesihatan, perubahan iklim, penggunaan lestari alam sekitar dan pengurusan sumber semula jadi.
Inisiatif-inisiatif itu juga termasuk pengurangan risiko bencana proaktif dan strategi pengurusan, pelbagaian sosio-budaya yang harmoni dalam hubungan, produktiviti tinggi, mengekalkan pembangunan ekonomi dan membina rantau yang berdaya tahan.
Sidang kemuncak itu juga menyokong penggalakan ekonomi serantau yang bersepadu, stabil dan makmur, merangkumi semua sektor masyarakat serta menggalakkan penyertaan golongan wanita, warga tua dan belia dalam membangunkan ASEAN yang kompetitif, inovatif dan dinamik.
Mengenai sosio budaya, para pemimpin ASEAN berikrar untuk memastikan rakyat mendapat bekalan air bersih, udara bersih, penjagaan kesihatan asas dan perkhidmatan sosial lain supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang sihat dan produktif untuk menyumbang kepada Komuniti ASEAN.
Mereka mahu mengeratkan hubungan rakyat sesama rakyat dan meningkatkan kesedaran tentang identiti ASEAN dalam kalangan golongan muda dengan meningkatkan interaksi dan pertukaran belia dalam ASEAN.
Para pemimpin juga komited untuk meningkatkan kerjasama dalam pengurusan bencana dan tindak balas kecemasan dalam mengukuhkan daya tahan bencana di semua peringkat dan mengurangkan kelemahan penduduk yang terlibat.
Mereka juga berikrar untuk meningkatkan kerjasama dengan rakan dialognya dan pihak luar relevan dalam kesemua tiga tonggak Komuniti ASEAN.