ASEAN terima baik suara Malaysia dalam isu Palestin - Menteri Luar
Syafik Shukri Jalil
Julai 27, 2024 21:31 MYT
Julai 27, 2024 21:31 MYT
VIENTIANE: Barisan Menteri Luar ASEAN menerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-57, menerima baik suara dan cadangan Malaysia dalam isu kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin.
Ringkasan AI
- ASEAN menyokong cadangan Malaysia mengenai kekejaman rejim Israel terhadap Palestin, termasuk gencatan senjata kekal dan pengiktirafan negara Palestin sebagai anggota PBB.
- ASEAN menegaskan pentingnya kerajaan junta Myanmar mengembalikan dasar demokrasi dan mengadakan pilihan raya bebas yang dapat disertai semua pihak berkepentingan.
- ASEAN mengalu-alukan usaha meredakan ketegangan antara Filipina dan China, dengan menekankan penyelesaian melalui dialog dan mengikut undang-undang antarabangsa.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, AMM yang menutup tirainya hari ini di Vientiane, Laos turut sepakat menuntut gencatan senjata kekal dikuatkuasakan segera.
Pada masa sama, mereka juga menyeru agar dunia mengiktiraf penubuhan negara Palestin yang merdeka seterusnya membolehkan Palestin menjadi negara anggota dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Kita telah berjaya membawa suara rantau ASEAN, cadangan-cadangan Malaysia nampaknya diterima pakai semuanya terutama dengan situasi di Gaza.
"Setiap mesyuarat, 19 mesyuarat dan sembilan mesyuarat dua hala dengan negara dialog ASEAN dan bukan dialog, saya membawa suara Malaysia tentang kekejaman yang berlaku terhadap rakyat Palestin dan ia sebagai satu tindakan memberi tekanan terhadap rejim Zionis Israel.
"Ini bagi memastikan (rejim Israel) memberhentikan pembunuhan ini, menerima cadangan gencatan senjata secara kekal dan juga rakyat Palestin dibenarkan balik ke kampung halaman mereka.
"Malah negara Palestin mesti diiktiraf sebagai negara yang merdeka dan menjadi ahli badan dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan ibu negaranya iaitu Jerusalem Timur ataupun Baitulmaqdis Timur," katanya.
Mohamad berkata demikian semasa sidang media penutup AMM ke-57 bersama delegasi media Malaysia di Vientiane pada Sabtu.
Selain itu, penekanan terhadap krisis di Myanmar terus mendominasi beberapa mesyuarat utama hari ini dengan menyaksikan ASEAN terus kekal dengan pendirian mahu pihak Kerajaan Junta mencari jalan penyelesaian bagi mengakhiri konflik yang cukup dominan di peringkat Asia Tenggara ini.
"Keadaan di Myanmar ini mesti ditangani secara bersama dengan rakan-rakan dialog membantu ASEAN untuk pastikan supaya Myanmar mengembalikan semula dasar demokrasi dan membuat pilihanraya bebas.
"Mereka (Kerajaan Junta) dengar khabarnya telah merancang untuk mengadakan pilihanraya pada hujung tahun depan, tetapi ASEAN menegaskan bukan sahaja pilihan raya tetapi mestilah pilihan raya bebas yang boleh disertai oleh semua pihak yang berkepentingan di Myanmar.
"Dengan cara ini sajalah yang dapat kita lihat nanti hasil yang baik untuk Myanmar supaya keadaan di Myanmar ini bukan lagi duri dalam daging kepada ASEAN," tambahnya.
Pada masa sama, turut diberi perhatian adalah isu pertikaian di Laut China Selatan dan pastinya ASEAN menyambut baik apabila Filipina dan China bersetuju meredakan ketegangan antara Manila dan Beijing berhubung isu tuntutan negara masing-masing pada awal Julai lalu.
Ini kerana kedua-dua negara itu sebelum ini mempunyai sejarah panjang dalam perbalahan berkaitan pertikaian wilayah maritim di kawasan perairan itu, termasuk beberapa insiden membabitkan pasukan kedua-dua pihak di Laut China Selatan.
"Kita nak lihat supaya Laut China Selatan ini sebagai satu laut bebas dan masing-masing ada dia punya hak masing-masing mengikut undang-undang antarabangsa United Nations Convention on The Law of the Sea 1982.
"Jadi setiap isu di Laut China Selatan ini semua negara bersetuju supaya kita mengadakan perundingan melalui dialog bersama-sama jadi ini satu perkara yang dapat kita capai untuk kita melakukan rundingan dan dialog secara bersama," katanya lagi.
Mohamad yang mengetuai delegasi Malaysia dalam AMM ke-57 ini tiba di Laos pada Selasa telah menghadiri kesemua 19 sesi dialog dan mesyuarat bersama rakan sejawatannya dari blok ASEAN.
Malah beliau turut sempat mengadakan sembilan pertemuan dua hala bersama beberapa rakan dialog ASEAN antaranya, United Kingdom, India, Canada, New Zealand dan China.