ASEAN sokong 18 keutamaan ekonomi ditetapkan Malaysia
Luqman Hariz
Februari 28, 2025 18:21 MYT
Februari 28, 2025 18:21 MYT
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semasa sidang media selepas mempengerusikan Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 di Desaru, hari ini. - Foto BERNAMA
DESARU: ASEAN sebulat suara menyokong 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) yang ditetapkan oleh Malaysia selaku Pengerusi tahun ini.
Ringkasan AI
- *Ringkasan:**
- ASEAN sebulat suara menyokong 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) yang dicadangkan Malaysia merangkumi pelbagai sektor.
- Agenda utama termasuk perjanjian perdagangan, penggunaan kenderaan elektrik (EV), dan sokongan kepada PMKS untuk peralihan hijau.
- Malaysia komited mempercepatkan rundingan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) untuk pembangunan ekonomi digital.
Perkara itu diumumkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz susulan penggulungan Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) di sini, hari ini.
“Malaysia menetapkan 18 PED merentasi pelbagai sektor di bawah Visi Komuniti Ekonomi ASEAN.
“Ia melibatkan perdagangan barangan, pelaburan, kewangan dan pasaran modal, pertanian, tenaga, perusahaan kecil, mikro dan sederhana (PMKS), pelancongan, semikonduktor serta penglibatan dengan rakan dialog kami,” ujarnya.
Katanya, sembilan PED terletak di bawah tunjang ekonomi, yang mengandungi beberapa agenda utama yang diketengahkan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN
Ia termasuk pindaan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA), menaik taraf perjanjian perdagangan bebas ASEAN-China, melengkapkan penelitian semula Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India, serta deklarasi kerjasama ASEAN-Majlis Tindakan Teluk (GCC).
Turut dipersetujui di bawah tunjang ekonomi adalah penerimaan Panduan Pelaburan Mampan ASEAN, membincangkan rangka kerja penggunaan kenderaan elektrik (EV), bantuan terhadap PMKS untuk peralihan hijau, integrasi rantaian bekalan semikonduktor, serta memuktamadkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA).
“Malaysia ingin mengucapkan terima kasih kepada semua negara anggota ASEAN atas sokongan dan komitmen tambahan mereka untuk memastikan pelaksanaan PED ini tepat pada masanya,” katanya.
Bergerak ke hadapan katanya, Malaysia berharap ASEAN dapat mencapai kemajuan dalam beberapa perkara yang masih belum dimuktamadkan, termasuk DEFA.
Beliau sebelum ini berkata, rundingan DEFA berdepan cabaran kerana ia melibatkan pembukaan beberapa industri yang dilindungi di setiap negara, khususnya perkhidmatan.
“Ini akan menjadi perjanjian penting dan pemacu pertumbuhan sosioekonomi, untuk ASEAN beralih ke arah ekonomi digital.
“Jadi kami bersetuju untuk menggandakan usaha dan meneroka pilihan alternatif untuk mempercepatkan persetujuan perjanjian ini,”katanya.