ASEAN setuju untuk teruskan usaha bagi wujud rantau bebas dadah

Bernama
Oktober 30, 2015 00:11 MYT
Menteri-menteri ASEAN bersetuju supaya pelan kerja yang lebih komprehensif perlu diletakkan bagi mencapai cita-cita tersebut. - Gambar hiasan
Menteri-menteri ASEAN yang bertanggungjawab terhadap perkara-perkara berkaitan dadah pada Khamis bersetuju untuk meneruskan cita-cita bersama bagai memastikan rantau ini bebas daripada dadah.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada hari terakhir Mesyuarat Keempat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Dadah (AMMDM) di sini, mereka bersetuju supaya pelan kerja yang lebih komprehensif perlu diletakkan bagi mencapai cita-cita tersebut.
Mereka juga bersetuju untuk menerima pakai Penyata Pendirian ASEAN pada sesi ke-59 Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah Narkotik (UNCND) pada Mac 2016 dan juga pada Sesi Khas Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu 2016 mengenai masalah dadah.
Mesyuarat AMMD, yang bermula dengan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) semalam, dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Dalam Negeri.
Antara kebimbingan yang dikongsikan dalam AMMDM ialah peningkatan pengeluaran dadah opiat, ancaman bahan perangsang amfetamina dan peningkatan ancaman dadah sintetik.
Barisan menteri-menteri turut memuji usaha yang diambil oleh Pasukan Petugas Larangan Lapangan Terbang ASEAN (AAITF) dan Pusat Penyelarasan Narkotik ASEAN (ASEAN-NARCO) bagi memperkukuhkan kerjasama dalam kalangan negara anggota.
Mereka juga menyeru semua negara anggota untuk meneruskan usaha masing-masing bagi menambah baik program rawatan dan pemulihan dengan mempertimbangkan amalan berasaskan bukti dan saintifik.
Menteri-menteri berkenaan juga memperakui kepentingan kempen pendidikan yang berterusan khusus untuk golongan belia dan kumpulan berisiko tinggi kerana kumpulan ini mudah terdedah kepada penyalahgunaan dadah.
Singapura akan menjadi tuan rumah mesyuarat kelima AMMDM pada tahun depan.
#aaitff #Ahmad Zahid Hamidi #ammdm #ASEAN #asean-narco #uncnd