ASEAN selaras sistem akreditasi pendidikan bertaraf global

Harits Asyraf Hasnan
Julai 23, 2019 14:55 MYT
Dr Maszlee Malik bersama para pemimpin pendidikan ASEAN bersalaman pada majlis pembukaan Majlis Organisasi Menteri Pendidikan Asia Tenggara Ke-50 (SEAMEC) di Petaling Jaya hari ini. - Foto Astro AWANI / Shahir Omar
Menteri-Menteri Pendidikan negara anggota ASEAN kini memfokuskan untuk menyelaras sistem akreditasi dan pengiktirafan peringkat antarabangsa.
Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata Organisasi Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) menjadikan beberapa sistem antarabangsa seperti Bologna Process dan The Lisbon Recognition Convention sebagai penanda aras mereka.
"Pentadbiran SEAMEO sebelum ini telah membuka jalan kepada semua usaha menyatukan negara-negara ini dan mencari rangka kerja sektor pendidikan rantau ini.
"Jadi buat masa ini, kami memfokuskan kepada rangka kerja serantau bagi akreditasi dan pengiktirafan institusi pendidikan tinggi seperti Bologna Process dan The Lisbon Recognition Convention.
"Ia sesuatu yang mampu dilaksanakan kerana prosesnya semakin mudah. Ini langkah ke hadapan kita dan memulakan bab baharu di mana kita akan adakan lebih banyak perbincangan dan pemahaman, sekali gus menjadikan ia satu realiti."
Maszlee berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Persidangan Majlis Organisasi Menteri Pendidikan Asia Tenggara Ke-50 (SEAMEC), di sini, hari ini.
Sementara itu, mengulas berkenaan jurang kedudukan negara-negara anggota ASEAN menerusi Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA), Maszlee menegaskan nilai persamaan sepatutnya menjadi kekuatan kepada sistem pendidikan ASEAN.
"Kita sepatutnya meraikan semangat serantau dan semangat sebagai sebuah keluarga ASEAN yang besar. Kita perlu bekerjasama atas kekuatan yang unik kerana setiap negara mempunyai kekuatan tersendiri dan memanfaatkan kekuatan itu bersama.
"Perkara ini selalu yang ditekankan oleh Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) berkenaan kemakmuran bersama, yang merupakan sebahagian daripada polisi kemakmuran bersama yang perlu kita raikan," katanya lagi.
Malaysia merupakan tuan rumah bagi persidangan tahunan tersebut seiring pelantikan Maszlee selaku Presiden SEAMEO bagi penggal 2019 hingga 2021.
SEAMEO menggariskan tujuh bidang keutamaan bagi tahun 2015 hingga 2035 seperti pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak, menjadikan halangan sebagai inklusif, mempromosi pendidikan serta latihan bagi teknikal dan vokasional serta mengadaptasi kurikulum abad ke-21.
#ASEAN #Maszlee Malik #Organisasi Menteri Pendidikan Asia Tenggara #pendidikan #PISA #Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa #SEAMEAC #SEAMEO
;