ASEAN: Saifuddin gesa Malaysia lebih proaktif tangani isu Myanmar
Azyyati Ahmad
April 9, 2024 12:50 MYT
April 9, 2024 12:50 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menggesa kerajaan untuk menjalankan peranan yang lebih proaktif dalam mengemudi landskap sosiopolitik yang rumit di Myanmar dengan merebut setiap peluang untuk memupuk keamanan dan kestabilan.
Berikutan Malaysia bakal mempengerusikan ASEAN tahun depan, beliau berkata, usaha proaktif itu akan membolehkan Malaysia membentuk persekitaran yang aman dan inklusif dalam rantau ASEAN dengan menggalakkan dialog yang berkesan dan melaksanakan penyelesaian berkekalan yang akan meningkatkan demokrasi dan kestabilan serantau.
“Memandangkan situasi di Myanmar terus berkembang, persediaan proaktif Malaysia untuk menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025 menjadi semakin penting.
“Malaysia bersama anggota ASEAN dan masyarakat antarabangsa, mesti mengamalkan pendekatan berpandangan ke hadapan untuk mengemudi landskap politik dan sosial yang kompleks di Myanmar.
“Ini melibatkan bukan sahaja menangani cabaran semasa tetapi juga merebut peluang untuk memupuk keamanan, kestabilan, dan dialog inklusif di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Ahli Parlimen Indera Mahkota itu juga menggesa, Putrajaya meneruskan atau memperbaharui penglibatannya dengan Kerajaan Perpaduan Nasional Myanmar (NUG), Majlis Perundingan Perpaduan Negara (NUCC), rakyat dan menggesa seluruh ASEAN melakukan perkara yang sama ke arah mencari penyelesaian untuk konflik.
Krisis yang semakin meruncing di Myanmar dan resolusi yang diluluskan oleh Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan pendirian bersatu oleh negara lain terhadap isu kemanusiaan yang berlaku di Myanmar.
Katanya, walaupun Perhimpunan Rakyat Myanmar kedua selepas rampasan kuasa NUCC telah menyaksikan penglibatan peserta Rohingya buat kali pertama, hak kewarganegaraan Rohingya masih lagi dilihat kurang.
Jawatan pengerusi ASEAN bergilir setiap tahun berdasarkan susunan abjad negara anggota dan tahun depan merupakan giliran Malaysia menjadi pengerusi.
Negara anggota yang menyandang jawatan pengerusi akan mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN dan sidang kemuncak berkaitan Majlis Penyelarasan ASEAN, tiga Majlis Komuniti ASEAN, Badan Menteri Sektoral ASEAN.