ASEAN perlu ubah strategi bantu selesaikan isu Myanmar - Saifuddin

Ridauddin Daud
Disember 15, 2021 15:13 MYT
Saifuddin berkata, ASEAN perlu mengenal pasti masalah sebenar di negara tersebut dan merancang langkah seterusnya dengan sebaik mungkin. - Wisma Putra
PUTRAJAYA: ASEAN perlu mengubah strategi, tidak lagi menggunakan pendekatan lama dalam menyelesaikan krisis melanda Myanmar yang berlanjutan sejak beberapa bulan lepas.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, ASEAN perlu mengenal pasti masalah sebenar di negara tersebut dan merancang langkah seterusnya dengan sebaik mungkin.
Menurutnya, ASEAN mempunyai Konsensus Lima Perkara namun tidak benar-benar mengenal pasti secara tepat bilakah penyelesaian isu sebegitu perlu dicapai.
“Kita (ASEAN) tidak boleh terus begini. Kita kena pastikan ada cara tertentu untuk melakukan sesuatu. Saya faham dan raikan prinsip tidak campur tangan tetapi kalau boleh saya ulang apa saya kata sebelum ini, ASEAN juga perlu ada prinsip tidak memandang ringan sesuatu perkara.
“Apa yang berlaku di Myanmar, (pelarian) telah keluar dari negara itu dan ia pergi ke Bangladesh malah Malaysia juga kini ada kira-kira 200,000 pelarian Rohingya.
BACA: Hubungan diplomatik Malaysia-AS: Peluang baik buat kerajaan pulihkan ekonomi
“ASEAN perlu mencari penyelesaiannya. Dalam kes seperti ini, mungkin perlu adanya Rancangan A, Rancangan B dan Rancangan C, bukan hanya berpegang kepada satu rancangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Bersama melibatkan Saifuddin dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken pada Rabu sempena lawatan kerjanya selama dua hari di Malaysia.
Lawatan Kerja | Antony Blinken selamat tiba di Malaysia
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, pertemuan Menteri Luar Negeri ASEAN di Kemboja pada 19 Januari depan akan menjadi medan penting untuk membincangkan isu tersebut.
“Usaha menggariskan langkah dan pencapaian sebenar mengenai tarikh dan hasilnya, saya percaya, kami akan cuba mendapatkan keputusan penting yang akan kami sampaikan selepas pertemuan tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, Blinken turut menyuarakan komitmen sama terhadap isu yang melanda Myanmar dan menegaskan Amerika Syarikat komited untuk mengembalikan demokrasi di negara berkenaan.
“Saya fikir adalah sangat penting, pada minggu-minggu dan bulan akan datang, kita perlu melihat apakah langkah tambahan yang boleh kita ambil secara proaktif untuk memberi tekanan rejim supaya meletakkan negara itu kembali kepada trajektori demokrasi.
“Ia termasuklah penamatan kepada keganasan dan akses kepada kemanusiaan dan lain-lain perkara,” ujarnya.
Tegasnya, AS juga sedang memerhati secara aktif situasi yang berlaku di Myanmar termasuk pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di sana.
#Antony Blinken #Saifuddin Abdullah #krisis Myanmar #ASEAN
;