ASEAN perlu selaras usaha ke arah pembukaan semula sektor pelancongan

Astro Awani
Februari 13, 2022 13:08 MYT
Wee berkata, negara-negara ASEAN harus membuat persiapan yang diperlukan untuk membuka semula perjalanan antarabangsa. - Gambar hiasan/Tourism Malaysia
KUALA LUMPUR: Negara-negara ASEAN perlu ada satu penyelarasan dalam usaha ke arah membatalkan sekatan perjalanan dan memudahkan pergerakan rentas sempadan.
Antara langkah keutamaan yang boleh diambil termasuk menyeragamkan peraturan, menghapuskan prosedur yang menyusahkan dan menerima pakai satu bentuk pensijilan kesihatan digital sejagat.
Ketika ini, menurut Setiausaha Agung Persatuan Kajian Pelancongan ASEAN (ATRA) Prof Datuk Seri Dr Victor Wee, penyelarasan ini tidak berlaku dengan pantas atau cukup bersepadu, bagi mengembalikan semula perjalanan antarabangsa.
"Negara-negara ASEAN telah mengambil pendekatan endemik dengan belajar untuk hidup dengan COVID-19 dan menerima hakikat ia tidak akan lenyap dalam masa terdekat.
"Walau apa pun kemungkinannya, negara-negara ASEAN mesti membuat persiapan yang diperlukan untuk membuka semula perjalanan antarabangsa," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan portal MalaysiaKini.
Sehubungan itu, Wee yang juga pensyarah di Taylors University, mencadangkan langkah berikut yang boleh diambil bagi mewajarkan dan memudahkan perjalanan antarabangsa di rantau ini:
* Menjalin kerjasama rapat antara negara-negara ASEAN
* Memastikan perjalanan rentas sempadan yang selamat dan boleh dijangka
* Menjamin keselamatan dan fleksibiliti dalam urusan perjalanan
* Mengambil pendekatan standard berkaitan status sijil vaksinasi COVID-19
* Mengelak kebocoran maklumat kesihatan peribadi pengembara
* Melonggarkan atau menghapuskan syarat kuarantin
* Memberi galakan kepada semua destinasi pelancongan
* Memberi sokongan kepada perniagaan pelancongan
Wee berkata, pandemik COVID-19 telah mempercepatkan penggunaan digitalisasi di dalam pekerjaan dan kehidupan rakyat negara ini.
Pada masa sama, jurang kemahiran dalam pasaran buruh tempatan menjadi penghalang kepada penggunaan teknologi baharu.
"Bagi memastikan tenaga kerja pelancongan lebih bersedia menghadapi masa depan, agensi berkaitan digalak menggunakan tempoh bertenang semasa pandemik ini untuk menambah pengetahuan mereka.
"Ia boleh dilakukan dengan menganjurkan webinar secara percuma dan menyediakan latihan untuk pemegang taruh dan usahawan, dengan menumpukan kepada kemahiran digital dan penciptaan semula pasca-krisis," katanya.
#industri pelancongan #ASEAN #perjalanan antarabangsa #sekatan perjalanan
;