ASEAN perlu perhebat sokongan kewangan untuk akhiri TB - KKM

Bernama
Mac 24, 2022 18:32 MYT
Negara anggota ASEAN (AMS) perlu memperhebat sokongan kewangan untuk membawa diognastik, ubat dan regimen ubat, serta vaksin baharu ke dalam pasaran bagi melawan penyakit batuk kering (TB), menurut Kementerian Kesihatan (KKM). - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Negara anggota ASEAN (AMS) perlu memperhebat sokongan kewangan untuk membawa diognastik, ubat dan regimen ubat, serta vaksin baharu ke dalam pasaran bagi melawan penyakit batuk kering (TB), menurut Kementerian Kesihatan (KKM).
Dalam artikel bertajuk ASEAN Region Will Invest to End TB. Save Lives (Rantau ASEAN Akan Melabur Untuk Mengakhiri TB. Selamatkan Nyawa) yang diterbitkan sempena Hari Tuberkulosis Sedunia 2022 hari ini, KKM berkata pelaburan untuk vaksin baharu TB yang selamat dan lebih berkesan daripada BCG, yang boleh melindungi daripada semua jenis TB dalam kalangan remaja dan dewasa, akan menjadi 'alat' yang secara ketara dapat mengurangkan insiden penyakit tersebut.
"Teknologi digital sedang mengubah penyampaian penjagaan kesihatan pada peringkat global, seperti perkembangan dramatik dalam rekod kesihatan elektronik, telekesihatan untuk perjumpaan dengan pesakit secara maya dan teleradiologi untuk kajian pengimejan di kawasan terpencil. Teknologi digital juga dilihat dapat meningkatkan kepatuhan pada pengambilan ubat," kata KKM yang menerbitkan artikel tersebut sebagai negara yang mengetuai Pencegahan dan Kawalan Tuberkulosis Serantau dalam Sektor Kesihatan ASEAN.
KKM berkata AMS juga patut meneroka penggunaan teknologi digital untuk komunikasi dan rujukan berterusan bagi pengurusan pesakit TB antara negara.
Kementerian itu berkata pelaburan untuk kawalan dan pencegahan TB bukan sahaja dalam sistem penjagaan kesihatan tetapi ia mencakupi kementerian dan negara lain.
"Isu seperti kemiskinan dan kekurangan perlindungan sosial, kekurangan nutrisi, kesesakan dan kondisi tempat tinggal atau tempat kerja yang teruk, turut memerlukan perhatian dan haruslah diakui oleh AMS," tambah KKM.
Menurut kementerian itu, AMS perlu terus meningkatkan diognasis pantas dan awal, mewujudkan pusat penjagaan yang berdekatan pesakit dan keluarga mereka, serta memperkenalkan regimen rawatan yang lebih pendek dan lebih efektif.
Ini termasuklah penggunaan ubat-ubatan yang wajar untuk mengelakkan kerintangan antimikrobial, memperluas terapi pencegahan dan penyelidikan bagi mencari kaedah baharu untuk mencegah TB secara lebih efisien, menurut kementerian itu.
"AMS turut perlu merangsang pendekatan antara sektor dan organisasi masyarakat sivil dalam menambah baik sistem sokongan psikososial buat para pesakit dan keluarga mereka. Bersama-sama kita akan akhiri TB di Rantau ASEAN menjelang 2035," kata KKM.
Kementerian itu berkata tema Hari TB Sedunia "Invest to End TB. Save Lives" menyampaikan mesej tentang keperluan mendesak untuk melabur sumber bagi memperkasa lagi perjuangan melawan penyakit itu.
Ini adalah kritikal, khususnya, dalam konteks pandemik COVID-19 yang telah membantutkan perkembangan usaha untuk mengakhiri TB dan penyediaan perkhidmatan TB yang penting selain mengurangkan beban penyakit TB, kata KKM
Menurut KKM, impak paling ketara adalah penurunan bilangan individu baharu yang didiagnosis dan dilaporkan menghidap TB pada skala global.
Sasaran global bagi pengurangan beban penyakit TB telah ditetapkan sebagai sebahagian daripada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 dan Strategi Mengakhiri TB 2035, iaitu dinilai dengan kadar insiden TB sebagai petunjuk utama, kata kementerian itu.
Selain Malaysia, anggota ASEAN terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
-- BERNAMA
#batuk kering #TB #ASEAN #KKM #Kementerian Kesihatan #vaksin #sokongan kewangan
;