ASEAN perlu nyata pendirian terhadap Myanmar - Pemuda UMNO

Astro Awani
November 23, 2016 12:39 MYT
Negara anggota ASEAN perlu menyatakan pendirian bagi menghentikan penindasan terhadap umat Islam Rohingya di Myanmar. -Foto Facebook Saiful Rohin
Negara anggota ASEAN perlu menyatakan pendirian bagi menghentikan penindasan terhadap umat Islam Rohingya di Myanmar.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, negara ASEAN juga seharusnya memberi tekanan agar Myanmar dikenakan sekatan ekonomi serta-merta atas di atas tindakan mereka.
"Kita akan menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Myanmar pada petang Jumaat ini sebagai tanda membantah kekejaman terhadap etnik minoriti beragama Islam di negara itu.
"Penyerahan memorandum itu akan disertai semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi politik bagi menuntut keadilan dan penjelasan daripada pemerintah Myanmar," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Sebelum ini, kumpulan pemerhati Hak Asasi Manusia mencuba untuk terus menutup penafian kekejaman yang dilakukan tentera kerajaan Myanmar terhadap penduduk Islam Rohingya.
Di sebalik penafian yang dibuat, kumpulan pemerhati berkata, imej satelit yang disiarkan menunjukkan tentera kerajaan telah membakar lebih 1,000 penempatan etnik tersebut sebelum ini dan pembakaran itu adalah disengajakan.
Dalam pada itu Khairul Azwan turut menggesa pengamal media di seluruh dunia supaya tidak hipokrit terutama apabila menyembunyikan isu masyarakat Islam yang ditindas dan dibunuh di Myanmar.
"Etnik Rohingya sebenarnya diperlakukan sedemikian oleh pelampau agama bukan atas dasar memerangi militan. Justeru, kami mahu menuntut tindakan antarabangsa yang tegas ke atas Myanmar," tegasnya.
Ujarnya, pembunuhan beramai-ramai membabitkan kaum Rohingya di Myanmar harus dijadikan agenda utama ASEAN dan komuniti antarabangsa dalam usaha mengekang jenayah ini daripada terus berleluasa.
Ketika ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan, lebih 30,000 penduduk Rohingya telah kehilangan tempat tinggal mereka manakala berpuluh-puluh lagi terbunuh selepas diserang tentera Myanmar.
Sebelum ini, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, menggesa badan-badan komuniti antarabangsa supaya segera meletakkan tekanan kepada kerajaan Myanmar berikutan insiden pembantaian etnik Rohingya di Rakhine.
Mas Ermieyati yang kesal dengan tindakan tentera Myanmar yang menindas dan membunuh etnik Rohingya bermula 9 Oktober lalu mendesak perhatian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ASEAN, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Kesatuan Eropah (EU).
#ASEAN #Azwan Bro #Khairul Azwan Harun #Myanmar #Pemuda UMNO
;