ASEAN perlu lebih lantang suarakan isu Palestin - Rais Yatim

Bernama
Julai 22, 2024 10:45 MYT
Rais berkata isu Palestin boleh disuarakan negara anggota ASEAN menerusi platform seperti forum, majlis menteri-menteri luar dan majlis ketua-ketua kerajaan. -Gambar fail
PUTRAJAYA: ASEAN perlu lebih lantang dan bersatu menyuarakan pandangan mengenai penindasan berterusan Israel ke atas rakyat Palestin, kata bekas Menteri Luar Tan Sri Rais Yatim.
Beliau yang juga Penasihat Perdana Global Peace Foundation (PGPF) berkata isu Palestin boleh disuarakan negara anggota ASEAN menerusi platform seperti forum, majlis menteri-menteri luar dan majlis ketua-ketua kerajaan.
"ASEAN sebagai badan wilayah di Asia Tenggara perlu lebih 'dengar' dan ke depan dalam menentukan nasib Palestin.
"Dalam soal sama ada Palestin harus ada gencatan senjata yang dilakukan oleh Israel, ini mesti merupakan satu desakan dari ASEAN," katanya ketika ditemui pada Colloquium Coalition of Malaysian Non-Governmental Organisastions (NGO): Free Palestine, di sini hari ini.
Rais berkata selain ASEAN, organisasi antarabangsa seperti Non-Aligned Movement (NAM), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan negara dari liga Arab juga perlu menunjukkan ketegasan mereka dalam isu melibatkan Palestin.
Sementara itu Presiden PGPF Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kolokium itu adalah platform bagi NGO mengesahkan semula komitmennya terhadap perjuangan rakyat Palestin, termasuk menuntut dan menekan masyarakat antarabangsa untuk bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku dan menghentikannya.
Ucapan Tun Mahathir dibacakan oleh Pengerusi PGPF Tan Sri Norian Mai.
Antara penceramah dalam kolokium itu ialah Naturei Karta (pertubuhan antarabangsa Ortodoks anti-Zionis), Rabbi Yisroel Dovid Weiss; Calon Hadiah Keamanan Nobel 2024 Dr Maung Zarni; dan Pengerusi Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) Malaysia Prof Dr Mohd Nazari Ismail.
-- BERNAMA
#Rais Yatim #Negara Anggota ASEAN #gencatan senjata #Palestin