ASEAN perlu bijak catur strategi untuk mendepani ‘perang tarif’
Luqman Hariz
Februari 27, 2025 16:08 MYT
Februari 27, 2025 16:08 MYT
Tengku Zafrul berkata, ASEAN perlu kekal berhati-hati kerana ramalan bahawa ia akan memperoleh manfaat daripada persaingan ekonomi antara Amerika Syarikat dan China, tidak semestinya benar. - Gambar/ Bernama
DESARU: Konsep neutraliti dan ‘ASEAN Centrality’ amat penting untuk blok 10 negara itu mengemudi ketidaktentuan ekonomi dan dasar perlindungan perdagangan yang semakin meluas di peringkat global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, ini termasuk pelaksanaan tarif perdagangan oleh kuasa-kuasa besar dunia.
Beliau berkata demikian di sela Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) 2025 di sini hari ini.
“(Perang tarif) akan dibincangkan dalam sesi pemukiman ini. Kita ada beberapa aspek kita perlu bincang, bukan saja dari segi tarif, tetapi perdagangan, keselamatan teknologi dan daya tahan rantaian bekalan.
“Tapi apa yang penting, berdasarkan prinsip 'ASEAN Centrality', kita perlu bincang isu-isu ini dan mendapat konsensus supaya ASEAN dapat bergerak senada,” katanya.
Katanya, ASEAN perlu kekal berhati-hati kerana ramalan bahawa ia akan memperoleh manfaat daripada persaingan ekonomi antara Amerika Syarikat dan China, tidak semestinya benar.
“Saya tidak bersetuju sepenuhnya bahawa ketegangan perdagangan Amerika-China akan menguntungkan ASEAN.
“Jika kita lihat kedua-dua ekonomi global ini, mereka mewakili 40 ke 45 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.
“Jadi jika ini terjejas, ASEAN juga akan terjejas, kerana jika pertumbuhan perdagangan di sana merosot atau menyederhana, ia akan memberi kesan berantai.
“ASEAN sebagai blok ekonomi terbuka, akan terjejas,” katanya.
Tengku Zafrul bagaimanapun berkata, ASEAN telah membuktikan bahawa ia destinasi pelaburan asing yang berdaya tahan sewaktu berdepan situasi serupa beberapa tahun lalu.
“Sewaktu ketegangan geopolitik Trump 1.0, pelaburan langsung asing (FDI) menurun di peringkat global, tetapi FDI ke ASEAN kekal positif.
“Tapi untuk mengekalkan trend itu, kita masih memerlukan pertumbuhan ekonomi global kerana pada penghujungnya, ia masih berlandaskan permintaan dan penawaran. Jika permintaan terjejas, penawaran akan terjejas, maka FDI akan terjejas,” katanya.
Katanya, negara-negara anggota ASEAN harus bijak menetapkan kedudukan dan pendirian ekonomi blok itu, agar ia mendapat manfaat maksimum jika perang tarif Amerika-China bertambah serius.
“Kita sebagai blok berkecuali akan terus mengambil posisi neutral, dan bersikap neutral bermakna kita perlu mengemudi ini dengan berhati-hati,” katanya.