ASEAN perkukuh usaha bersepadu tangani jerebu rentas sempadan
Bernama
Julai 6, 2022 16:38 MYT
Julai 6, 2022 16:38 MYT
JAKARTA: Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Kementerian Sub-Wilayah mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan (MSC) ke-23 pada Selasa diadakan menerusi persidangan secara dalam talian, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Mesyuarat dipengerusikan Menteri Alam Sekitar dan Air Malaysia Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, serta menghimpunkan menteri dan perwakilan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, tanah, kebakaran hutan dan jerebu dari Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura, dan Thailand, termasuk Setiausaha Agung ASEAN.
Mesyuarat itu akan disusuli Mesyuarat Ke-17 Persidangan Pihak-Pihak Terhadap Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (COP-17) yang bakal berlangsung di Singapura pada Oktober ini.
Mesyuarat itu merakamkan penghargaan dan memuji pelbagai inisiatif dan tindakan yang diambil negara-negara MSC terhadap pelaksanaan reviu strategik program dan aktiviti Jawatankuasa Pemandu Kementerian Sub-Wilayah.
Mesyuarat itu juga menekankan agar Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) dan agensi berkaitan menyediakan data dan maklumat berkaitan kebakaran tanah dan/atau hutan untuk negara-negara ASEAN.
MSC berharap untuk mengukuhkan lagi komitmen dan kerjasama melalui Pelan Hala Tuju baharu dan Strategi Pengurusan Tanah Gambut ASEAN yang baharu pada COP-17 akan datang untuk menangani punca pencemaran jerebu rentas sempadan, dan menambahbaik penilaian, pencegahan, mitigasi dan pengurusan kebakaran tanah dan hutan melalui kerjasama serantau dan di peringkat antarabangsa.
Ia juga menekankan keperluan untuk memuktamadkan Perjanjian Penubuhan dan Perjanjian Negara Tuan Rumah Pusat Penyelaras ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan (ACC THPC) di Indonesia.
-- BERNAMA