ASEAN perku kekal aman, berkecuali untuk tarik lebih banyak pelabur - Johari
Bernama
Mac 19, 2025 17:09 MYT
Mac 19, 2025 17:09 MYT
Johari berkata, negara-negara anggota perlu mencipta ekosistem yang antara lain berkongsi data, idea dan bergerak bersama dalam kelompok ASEAN yang utuh. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: ASEAN perlu terus kekal sebagai blok yang aman, bebas dan berkecuali bagi menarik kemasukan lebih banyak pelabur asing, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
Beliau yang juga Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 berkata perkara itu penting kerana tidak ada pihak yang mahu melabur di kawasan bergolak dan susah untuk melakukan perniagaan.
"Sudah sekian lama ASEAN dikenali sebagai zon aman, bebas dan berkecuali, jadi kita perlu terus memperkasakan ASEAN untuk menjadi kuasa ekonomi keempat dunia dan seterusnya naik ke kedudukan ketiga.
"Untuk mencapainya, selain landskap ASEAN itu sendiri, kita perlu bersama negara-negara anggota mencipta ekosistem yang antara lain berkongsi data, idea dan bergerak bersama dalam kelompok ASEAN yang utuh, bukan berseorangan," katanya.
Johari berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Logo dan Lagu AIPA 2025 bertajuk 'Together We Thrive', di bangunan Parlimen hari ini yang turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Johari berkata tiga negeri akan terlibat dengan program berkaitan AIPA 2025 iaitu Pahang, Selangor dan Sarawak, selain Kuala Lumpur yang akan menjadi tuan rumah Perhimpunan Agung AIPA pada September.
"Selain perhimpunan agung, program lain di tiga negeri itu ialah Perhimpunan Antara Parlimen Wanita ASEAN (WAIPA) di Sarawak, Mesyuarat Ahli Parlimen Muda AIPA (YPA) di Selangor dan Majlis Penasihat AIPA Mengenai Dadah Berbahaya (AIPACODD) di Pahang.
"Setakat ini juga, 25 negara pemerhati dijadual menyertai 10 negara anggota ASEAN dalam AIPA 2025," katanya.
AIPA, badan parlimen serantau yang ditubuhkan pada September 1977, bertujuan mengukuhkan hubungan dalam kalangan penggubal undang-undang Asia Tenggara.
-- BERNAMA