ASEAN, OIC dan PBB perlu hentikan pembunuhan etnik Rohingya - DMDI
Bernama
November 25, 2016 23:01 MYT
November 25, 2016 23:01 MYT
ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) perlu bertindak segera bagi menghentikan perbuatan membunuh masyarakat Rohingya secara beramai-ramai di Myanmar ketika ini.
Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata DMDI percaya, sebagai badan berpengaruh, ASEAN, OIC dan PBB boleh memainkan peranan penting untuk menghentikan krisis di Myanmar serta mempunyai kuasa dan kemampuan untuk menamatkan pembunuhan secara beramai-ramai di sana.
Katanya, peristiwa yang berlaku di Myanmar ketika ini merupakan perbuatan melanggar hak asasi manusia terhadap masyarakat Rohingya yang amat dahsyat, terutama melibatkan wanita dan kanak-kanak, yang perlu dihentikan segera.
"Pada konvensyen DMDI minggu lepas, kami meluluskan usul mengutuk kerajaan Myanmar kerana membunuh umat Islam Rohingya di Myanmar dan menggesa agar tindakan diambil untuk menghentikan perbuatan itu dengan segera.
"DMDI secara tegas menyeru kerajaan Myanmar supaya menghentikan perbuatan mencabul hak asasi manusia dan tindakan membunuh masyarakat Rohingya," katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.
-- BERNAMA