ASEAN harus memulakan dialog Indo-Pasifik

Bernama
Mei 18, 2023 04:30 MYT
Inisiatif itu akan mencerminkan komitmen ASEAN bagi mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: ASEAN dicadang memulakan dialog Indo-Pasifik yang inklusif termasuk melibatkan China dan India dalam perbincangan demi meningkatkan kerjasama serantau dan menangani cabaran di rantau ini, kata Profesor Adjung Institut Asia-Eropah (AEI) di Universiti Malaya, Prof Johan Saravanamuttu.
Beliau berkata, inisiatif itu akan mencerminkan komitmen ASEAN bagi mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini, serta hasratnya untuk memudahkan penglibatan terbuka dan membina antara negara.
"Dengan mewujudkan ruang untuk perbincangan terbuka, dialog Indo-Pasifik akan menjadi peluang yang baik untuk menangani isu-isu seperti perdagangan dan kerjasama ekonomi, kemampanan dan lain-lain," katanya pada forum sebelum pelancaran Projek Indo-Pasifik.
Projek bertemakan: "Outreach on the Indo-Pacific Strategy: A Quadrilateral Outreach and Research Initiative in partnership with 18 Malaysian Institutions on 7 Pillars of the EU's Strategy for Cooperation in the Indo-Pacific" telah dilancarkan di AEI pada Khamis.
Ia dilancarkan oleh Ketua Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia, Michalis Rokas; Duta Belanda ke Malaysia, Jaap Werner dan Duta Besar Sweden ke Malaysia, Joachim Bergstrom.
Prof Dr Johan berkata, ASEAN, sebuah badan serantau yang terdiri daripada 10 negara anggota, sudah mempunyai Tinjauan ASEAN ke atas Indo-Pasifik yang membayangkan "ASEAN Centrality" sebagai prinsip asas dalam menggalakkan kerjasama di rantau Indo-Pasifik.
Justeru, katanya, badan serantau itu harus memulakan beberapa proses dalam kerangka ASEAN untuk memulakan dialog Indo-Pasifik atau bahkan meningkatkan dialog ke peringkat yang lebih tinggi seperti Sidang Kemuncak dengan menjemput semua ketua kerajaan negara-negara berkenaan.
Beliau berkata, wilayah Indo-Pasifik harus merangkumi negara seperti China, India dan juga beberapa negara Asia Barat yang berhubung menerusi daratan.
Kehadiran China di rantau Indo-Pasifik telah menjadi topik perbincangan geopolitik yang penting sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana tindakan dan ketegasannya telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan negara serantau dan membawa kepada seruan berasaskan peraturan, kebebasan pelayaran dan pematuhan undang-undang antarabangsa.
Sementara itu, Prof Dr Johan berkata, projek penyelidikan dan jangkauan itu bertujuan untuk memudahkan pemahaman yang lebih mendalam tentang strategi Indo-Pasifik EU, kaitannya dengan tinjauan Indo-Pasifik ASEAN, dan mengapa dan bagaimana Malaysia boleh mendapat manfaat daripada kerjasama berkenaan.
-- BERNAMA
#dialog indo-pasifik #keamanan #kestabilan #ASEAN
;