ASEAN harus kekal tidak berpihak demi keselamatan serantau - Khaled Nordin

Bernama
September 6, 2024 05:15 MYT
Khaled berkata, ASEAN memainkan peranan sebagai pengimbang dan penyumbang kepada keamanan dan kestabilan di rantau ini. - Gambar fail
KLUANG: ASEAN harus mengekalkan pendirian tidak berpihak kepada mana-mana kuasa besar dunia sebagai langkah untuk menjamin kestabilan rantau Asia Tenggara, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, ASEAN memainkan peranan sebagai pengimbang dan penyumbang kepada keamanan dan kestabilan di rantau ini.
"Tanpa kerjasama yang erat dalam kalangan 10 negara anggotanya, rantau ini berisiko untuk terjerumus dalam keadaan kacau bilau.
Atas dasar itu tegas Mohamed Khaled, prinsip pemusatan ASEAN perlu dihormati dan dipertahankan.
"ASEAN tidak boleh diganggu, jangan ditarik, jangan jadi terpengaruh dengan mana-mana (kuasa besar)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Minggu Bersama Pencarum: Jelajah Selatan 2024 anjuran Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di Dewan Mahkota, Kem Mahkota Kluang, di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, negara-negara ASEAN akan berdepan kesukaran jika terpaksa menangani ancaman besar secara bersendirian tanpa sokongan dan kerjasama dari negara-negara anggota lain.
Sementara itu, berhubung kebocoran Nota Diplomatik baru-baru ini, Mohamed Khaled memberitahu, pihak kementeriannya masih menunggu kesahihan perkara berkenaan.
"Jadi setakat itu sahaja saya boleh beritahu kalau tidak nanti kita akan memberi reaksi kepada benda yang tidak ada, jadi setakat hari ini ia tidak ada secara rasmi mengenai soal nota bantahan ini," katanya.
Sebelum ini, Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan sedang menjalankan siasatan dalaman dan akan membuat laporan polis berhubung kebocoran Nota Diplomatik berkenaan.
Nota Diplomatik bertarikh 18 Feb lalu itu diterbitkan dalam satu artikel oleh portal media Filipina pada 29 Ogos lalu.
Ia antara lain melaporkan Beijing menuntut Malaysia untuk segera menghentikan semua aktiviti cari gali minyak dan gas berhampiran Sarawak berikutan tuntutan bertindih di perairan Laut China Selatan.
Minggu Bersama Pencarum: Jelajah Selatan 2024 yang berlangsung sejak 2 Sept lalu melabuhkan tirai hari ini dengan hampir 3,500 pengunjung dalam kalangan kakitangan Angkatan Tentera Malaysia.
Pada majlis berkenaan, Mohd Khaled turut melancarkan Buku Laporan Pencarum LTAT. - BERNAMA
#ASEAN #kestabilan rantau #Asia Tenggara #Khaled Nordin
;