ASEAN gesa Myanmar henti tindas rakyat, patuhi Konsensus Lima Perkara - Mohamad
Astro Awani
Januari 19, 2025 17:41 MYT
Januari 19, 2025 17:41 MYT
LANGKAWI: ASEAN menggesa Myanmar memenuhi tanggungjawabnya sebagai anggota pertubuhan itu dan mematuhi Konsensus Lima Perkara yang telah dipersetujui sebelum ini.
Konsensus tersebut, yang dipersetujui pada Sidang Khas Pemimpin ASEAN pada 2021, merupakan usaha ASEAN untuk menamatkan krisis politik dan kemanusiaan di Myanmar susulan rampasan kuasa oleh junta tentera di negara itu.
Ia menggariskan lima tunjang iaitu menghentikan keganasan, dialog konstruktif, bantuan kemanusiaan, menjadikan ASEAN sebagai perantara, serta lawatan wakil khas ASEAN ke negara itu.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ASEAN tiada niat untuk memulaukan Myanmar daripada pertubuhan tersebut.
“Konsensus Lima Perkara adalah platform rundingan yang kami mahu Myanmar patuhi.
“Ia sangat mudah, dan bukan seperti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sangat sukar untuk dicapai,” katanya.
Mohamad berkata demikian dalam sidang media susulan penggulungan Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN 2025 di sini, hari ini.
Katanya, ASEAN meletakkan keutamaan kepada Myanmar untuk kembali menjadi negara demokratik dengan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.
Beliau bagaimanapun mengambil maklum tentang pelbagai cabaran yang sedang dihadapi, dan menekankan kepentingan dialog dan diplomasi untuk merealisasikan perkara tersebut.
“Kami mengalu-alukan dialog secara aman dengan Myanmar dan pemegang taruh di sana.
“Kami sedang cuba yang terbaik untuk menggembeleng tenaga dan fikiran bersama-sama rakan dialog dan juga negara-negara jiran Myanmar tentang cara terbaik kita boleh menjamin kestabilan, dan kerajaan demokratik dilantik di sana,” katanya.
Mohamad menambah, ASEAN telah pun menerima komitmen daripada junta tentera Myanmar untuk mengadakan pilihan raya di negara itu dalam masa terdekat.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada kerajaan negara itu memberikan tarikh.
Rampasan kuasa di Myanmar berlaku pada 1 Februari 2021, apabila pihak tentera, Tatmadaw, mengambil alih kerajaan melalui rampasan kuasa.
Rampasan tersebut berlaku hanya beberapa jam sebelum parlimen baharu Myanmar dijadualkan bersidang, susulan kemenangan besar Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) yang diketuai oleh Aung San Suu Kyi dalam pilihan raya umum November 2020.