ASEAN diseru sepakat tolak ekstremisme dalam ASEAN - Najib

Tan Su Lin
November 20, 2015 13:51 MYT
Najib, yang akan mempengerusikan perhimpunan Kuala Lumpur atas kapasiti sebagai Pengerusi ASEAN 2015, berkata beliau akan mengulas lanjut mengenai ancaman keganasan pada Sidang Kemuncak ASEAN. - Gambar fail
Susulan insiden serangan di Paris, Lubnan serta pembunuhan kejam seorang rakyat Malaysia oleh kumpulan militan di Selatan Filipina, negara-negara anggota ASEAN diseru agar sepakat menentang ancaman ekstremisme melampau.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menekankan konsep kesederhanaan, toleransi dan inklusif sebagai benteng pertahanan terbaik menentang keganasan.
"Rakyat ASEAN merupakan masyarakat sederhana yang telah menempa nama dan dihormati, hasil daripada kepelbagaian, kepercayaan, etnik dan budaya.
"Sebagai kuasa yang menjadi contoh dengan masyarakat yang kekal aman, toleransi, harmoni dan inklusif adalah benteng pertahanan yang terbaik dan terjamin dalam menentang ekstrimesme melampau, kumpulan pengganas dan mereka yang mahu memusnahkan cara kehidupan kita.
"Kita perlu bersatu padu," katanya ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Peniagaan dan Pelaburan ASEAN di ibu negara pada Jumaat.
Dalam pada itu, Najib turut menyeru komuniti perniagaan bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan rantau ASEAN terus menikmati keamanan dan kestabilan.
Najib, yang akan mempengerusikan perhimpunan Kuala Lumpur atas kapasiti sebagai Pengerusi ASEAN 2015, berkata beliau akan mengulas lanjut mengenai anacaman keganasan pada Sidang Kemuncak ASEAN, esok.
"Saya akan berucap esok mengenai beberapa daripada ancaman ini...apa yang berlaku di Paris dan warga kita sendiri, Bernard Then yang dibunuh dengan cara paling kejam," katanya.
Then dipenggal oleh kumpulan militan itu di Jolo di kepulauan Sulu, selatan Filipina, Selasa lepas.
Mendiang merupakan antara dua rakyat Malaysia diculik oleh kumpulan militan Abu Sayyaf dari sebuah restoran makanan laut di Sandakan, Sabah, pada 14 Mei lepas, manakala seorang lagi mangsa tebusan, dibebaskan pada 8 Nov lepas.
Dalam insiden serangan pengeboman berani mati di beberapa lokasi di bandar raya di Paris, 13 Nov lepas, sejumlah 129 orang dilaporkan terkorban dan lebih 350 mengalami kecederaan.
Insiden serangan itu telah menimbulkan kemarahan komuniti antarabangsa termasuk menerima kutukan keras daripada kerajaan Malaysia.
#Abu Sayyaf #ASEAN #Bernard Then #ekstremisme #Najib Razak #Paris
;