ASEAN, China lancar portal untuk tarik pelancong China

Bernama
Januari 31, 2024 05:45 MYT
Malaysia menyasarkan lima juta pelancong China tahun ini, meningkat daripada 1.5 juta pada 2023. Malaysia menerima kira-kira 3.7 juta pelancong China sebelum pandemik COVID-19. - Gambar fail/BERNAMA
JAKARTA: ASEAN dengan sokongan kerajaan China pada forum pelancongan rantau itu di Laos melancarkan Laman Sesawang Pelancongan China-Asia Tenggara, sebuah inisiatif di bawah Pelan Induk Kesalinghubungan 2025.
Platform khusus itu yang bertujuan untuk menarik pelawat China, boleh dilayari di https://www.visitsoutheastasia.cn, menyediakan panduan praperjalanan untuk membantu mereka merancang perjalanan dengan lebih baik.
Sekretariat ASEAN dalam satu kenyataan berkata laman sesawang itu juga bertujuan meningkatkan aktiviti pelancongan, merangsang pertumbuhan ekonomi dan menggalakkan persefahaman bersama antara ASEAN dan China.
"Tahun 2024 adalah detik yang sesuai untuk membuka laman sesawang itu kerana ia bertepatan dengan Tahun Pertukaran Rakyat-dengan-Rakyat ASEAN-China," menurut sekretariat itu.
Laman sesawang itu berfungsi sebagai panduan komprehensif untuk meneroka 10 destinasi di Asia Tenggara, menyediakan maklumat perjalanan yang pelbagai dan penawaran produk meliputi semua negara anggota ASEAN.
Ia mengetengahkan beberapa tarikan utama di Malaysia seperti bandar Melaka, Tapak Warisan Dunia UNESCO, yang terkenal dengan sejarah dan budayanya.
Pulau Langkawi, sebuah kepulauan dengan 99 pulau di pantai barat Malaysia, menawarkan landskap yang indah dan pelbagai aktiviti rekreasi.
Gua Tempurung Perak, gua terpanjang dan terbesar di Semenanjung Malaysia, terkenal dengan pembentukan batu kapur yang unik, menarik pengembaraan dan peminat alam semula jadi.
Taman Negara Mulu Sarawak terkenal dengan biodiversiti yang luar biasa dan ciri-ciri kars yang menawan, menjadikannya destinasi utama untuk ekopelancongan dan penerokaan.
Malaysia menyasarkan lima juta pelancong China tahun ini, meningkat daripada 1.5 juta pada 2023. Malaysia menerima kira-kira 3.7 juta pelancong China sebelum pandemik COVID-19.
Malaysia memberi pengecualian visa untuk pengembara China bermula 1 Dis 2023 hingga 31 Dis 2024.
-- BERNAMA
#pelancongan #China #ASEAN #Laman Sesawang Pelancongan China-Asia Tenggara
;